
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata hasil rampasan itu dilaksanakan menerusi 30,634 pemeriksaan di semua pintu masuk negara dengan 1,561 kes dikesan melibatkan penyelewengan diesel subsidi.
“Bagi meningkatkan kawalan di sempadan negara, KPDN telah menempatkan pegawai penguatkuasa secara pentadbiran di lapan pintu masuk negara bermula Januari lalu,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Roy Angau anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) berhubung tindakan tegas kerajaan bagi membanteras penyelewengan diesel subsidi selain langkah proaktif mengurangkan ketirisan dan penyeludupan barangan bersubsidi.

Armizan berkata KPDN terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasa lain termasuk Imigresen dan Kastam, selain polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bersama mengawal pintu masuk negara daripada sebarang aktiviti penyeludupan.
Pada 19 Okt, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Gempur) sebagai usaha kerajaan menggempur manipulasi dan ketirisan barang kawasan subsidi melalui aktiviti perniagaan.
Usaha itu juga bagi mengekang penipuan perniagaan dalam talian (e-dagang), membanteras monopoli bermasalah dan kewujudan kartel dalam bentuk pakatan harga, pasaran, pengeluaran serta tipuan bida.
Baru-baru ini, Bernama melaporkan puluhan gerai di tepi jalan di Sungai Golok menjual minyak dan diesel subsidi yang dikhaskan untuk rakyat Malaysia di dalam botol dan tong plastik, dengan harga sekitar 28 baht (RM3.64) untuk botol satu liter hingga 250 baht (RM32.50) untuk tong sembilan liter.