
Vivian Koh Lik Ting, anak sulung daripada empat adik-beradik sebelum ini terpaksa menolak tawaran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kerana keluarganya tidak mampu membiayai kos pengajiannya.
Sehubungan itu, PTPTN bersama UMK dan Yayasan Raja Shamri (YRS) tampil bekerjasama membantu Koh melanjutkan pengajian dengan menyerahkan sumbangan sebanyak RM1,000 dalam bentuk akaun Simpanan SSPN, serta bantuan dari dana myWaqafPTPTN, hasil kerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).
Sesi penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid yang turut dihadiri antaranya Pengerusi YRS Raja Shamri Raja Husin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Kelantan Mohammad Ismail.
Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim berkata, sumbangan yang disalurkan adalah satu langkah penting dalam usaha PTPTN memastikan setiap pelajar mempunyai akses kepada pendidikan tinggi.
“Sumbangan ini ialah simbol keprihatinan kami terhadap masa depan pendidikan di negara. PTPTN menyambut baik kerjasama yang dijalinkan bersama UMK dan YRS bagi menjayakan program pada hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, program seumpama ini akan diperluas merangkumi lebih ramai pelajar yang memerlukan dan turut membabitkan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan politeknik terpilih kelak.
Sementara itu, YRS turut menyumbang kelengkapan bagi membantu Koh mempersiapkan diri melanjutkan pengajian.
Koh turut dihantar mendaftar masuk ke UMK oleh rombongan PTPTN dan YRS, disambut oleh Dekan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan UMK Mohd Fadil Mohd Yusof.
Menurut PTPTN, pelajar berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu juga layak menerima bantuan Program Pembangunan Siswa Sulung 2.0 bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Program ini antara usaha mencapai aspirasi global dan nasional yang dilaksanakan bagi membantu anak pertama daripada keluarga B40 yang berjaya menjadi wakil pertama keluarga ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
“Melalui Program Sulung ini, pelajar akan diberi bantuan daripada segi kewangan, di mana pelajar yang berkelayakan akan menerima pengecualian pembayaran yuran.”