
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat berkaitan itu kerana terdapat beberapa rumah perlindungan yang menempatkan kanak-kanak berkenaan.
“Nanti kita siasat, pasal ada rumah perlindungan di Negeri Sembilan, Selangor,” katanya selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri mendedahkan terdapat pihak cuba ‘mengintai’ bagi mendapatkan keberadaan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan GISBH.
Tanpa memperincikan pendedahan itu, beliau menegaskan, semua kanak-kanak terbabit dalam jagaan yang selamat di rumah perlindungan dengan kawalan keselamatan yang tinggi.
Setakat ini, seramai 560 kanak-kanak iaitu 283 lelaki dan 277 perempuan ditempatkan di pusat perlindungan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Bulan lalu, polis dan pelbagai agensi melancarkan Op Global yang menyelamatkan ratusan kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun, disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.
Serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal berkenaan.
Sementara itu, Razarudin berkata setakat ini 20 daripada 60 individu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) telah dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini.
Beliau berkata masih ada lagi siasatan dijalankan dan mencari individu yang terkait dalam kes GISBH, sambil tidak menolak kemungkinan akan ada lagi individu didakwa.
“Belum habis lagi. Kita akan buat siasatan lanjut sebab Sosma (prosesnya) panjang,” katanya.
Hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya Azura Md Yusof didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.
Turut didakwa anak bekas pengasas Al-Arqam Mohammad Adib At-Tamimi Asaari, 32, dan 19 individu lain.