Pengurus besar Nafas dakwa tuduhan dilempar sebelum semakan dalaman

Pengurus besar Nafas dakwa tuduhan dilempar sebelum semakan dalaman

Semalam jemaah pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan gantung tugas Muhammad Faris Arriffin susulan beberapa penemuan pelanggaran tatakelola.

Pengurus Besar Nafas Muhammad Faris Arriffin berkata sepanjang menjawat jawatan itu setiap inisiatif dilaksanakan adalah selaras agenda reformasi kerajaan. (Gambar Nafas)
PETALING JAYA:
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Muhammad Faris Arriffin yang digantung tugas atas dakwaan salah guna kewangan mendakwa tuduhan dilemparkan kepadanya dibuat sebelum proses semakan dalaman.

Katanya, sepanjang menjawat jawatan itu, setiap inisiatif dilaksanakan Nafas adalah selaras agenda reformasi kerajaan yang menekankan ketelusan, kecekapan, dan akauntabiliti.

“Keputusan untuk mengeluarkan kenyataan ini (menggantungnya) sebelum memulakan proses dalaman yang sewajarnya telah memberi kesan kepada perkembangan reformasi ini,” katanya kepada FMT.

Faris berkata, keutamaannya kini untuk menegakkan prinsip tadbir urus baik dan pada masa sama yakin pertubuhan itu akan terus beroperasi dengan integriti demi kepentingan semua pihak serta pemegang taruh.

Semalam, jemaah pengarah Nafas mengantung tugas Faris susulan beberapa penemuan pelanggaran tatakelola terkait pertubuhan itu yang merupakan dana milik ahli.

Nafas dalam kenyataan berkata, pihaknya mendapati berlaku pelanggaran tatakelola ketara apabila terdapat penyaluran kewangan kepada badan-badan kerajaan atau NGO yang tidak mempunyai kaitan dengan pertubuhan itu, malah ia juga di luar pengetahuan jemaah pengarah.

“Hasil siasatan dan penemuan lanjut akan diambil tindakan wajar melibatkan peraturan dan perundangan semasa, juga melibatkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.