Pegawai polis ‘orang berkepentingan’ dalam kehilangan Pastor Koh, mahkamah diberitahu

Pegawai polis ‘orang berkepentingan’ dalam kehilangan Pastor Koh, mahkamah diberitahu

Pengerusi pasukan petugas Abd Rahim Uda berkata, Awaludin Jadid seolah-olah mempunyai misi menyingkirkan pengikut Syiah.

Abd Rahim Uda, pengerusi pasukan petugas menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat berkata, pasukannya menghasilkan laporan tidak berat sebelah yang mengandungi pelbagai syor.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi pasukan petugas menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat hari ini mempertahankan tindakan menamakan bekas pegawai Cawangan Khas Bukit Aman sebagai orang berkepentingan dalam siasatannya.

Abd Rahim Uda berkata, pasukan petugas itu wajar menamakan Awaludin Jadid, bekas pegawai kanan bahagian ekstremisme sosial Cawangan Khas, kerana dia dilihat menjalankan kegiatan yang bukan sebahagian bidang tugasnya sebagai pegawai polis.

Ketika diperiksa balas oleh Peguam Kanan Persekutuan Nurul Farhana Khalid, Abd Rahim menjelaskan sebab pasukan petugas itu mencapai kesimpulan tersebut.

“Awaludin dan beberapa pegawai mengunjungi mufti Perlis (Mohd Asri Zainul Abidin) beberapa bulan sebelum Amri hilang,” kata saksi itu menambah, ini bukan sebahagian tugas Awaludin sebagai pegawai polis.

Beliau juga berkata, Awaludin berkata dalam sebuah forum bahawa pengikut Syiah ialah ‘ancaman kepada keselamatan negara’.

“(Awaludin) kelihatan seperti dalam misi untuk menyingkirkan orang-orang ini, (tindakan) yang tidak betul,” katanya.

Farhana: Tetapi pegawai kamu tidak berjumpa Awaludin untuk mendengar penjelasan tentang ucapannya?

Abd Rahim: Kamu ada baca transkrip (ucapan Awaludin)? Ia jelas.

Abd Rahim menyangkal dakwaan Awaludin bahawa pengikut Syiah ‘berbahaya’.

“(Awaludin) tidak pernah mengatakan pengikut Syiah mengambil parang dan menyerang orang awam. Jadi bagaimana mereka boleh jadi ancaman?”

Saksi itu juga berkata, dalam hal agama, pihak berkuasa agama negeri yang perlu mengambil tindakan.

Laporan pasukan petugas ‘tidak berat sebelah’

Menafikan laporan pasukan petugas itu berat sebelah, Abd Rahim berkata, laporan itu tidak memihak kepada keluarga aktivis yang hilang mahupun kerajaan.

Katanya, pasukan petugas itu hanya mengemukakan syor kepada kerajaan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil dalam siasatan kedua-dua kes itu.

“Kami mengesyorkan agar Jabatan Peguam Negara memantau siasatan setiap tiga bulan,” katanya.

Menurutnya, ini akan membolehkan timbalan pendakwa raya (TPR) memberi arahan kepada pegawai penyiasat tentang bagaimana siasatan perlu dijalankan, dengan mengambil kira perkembangan setiap kes.

Abd Rahim memberi keterangan dalam saman yang difailkan oleh isteri Koh, Susanna Liew, bagi pihak keluarganya, terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan pastor itu.

Liew mahu pihak berkuasa bertanggungjawab atas kehilangan suaminya dan misfeasans (salah laku) dalam jawatan awam.

Abd Rahim juga berkata, pasukan petugas itu mempunyai kuasa yang terhad. Tugas mengumpul keterangan dan menemu bual saksi harus dilaksanakan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami hanya boleh terima apa yang dibawa kepada kami pada nilai lahirnya. Kami beri mereka arahan tetapi sama ada ia dilaksanakan atau tidak, itu perkara berbeza.

“Saya bukan lagi TPR untuk beritahu pegawai polis apa yang perlu dilakukan atau ditanya (kepada saksi),” katanya.

Apabila ditanya oleh Hakim Su Tiang Joo sama ada anggota pasukan petugas itu diberi imbuhan oleh kerajaan atas perkhidmatan mereka, Abd Rahim berkata, beliau berhak menerima RM60,000 untuk pelantikan selama enam bulan.

“Tetapi saya belum terima satu sen pun. Saya bukan kata sesiapa salah,” tambahnya.

Suhakam mengadakan inkuiri awam berhubung kehilangan Koh dan Amri antara 2017 dan 2019.

Inkuiri itu mencapai kesimpulan bahawa Koh dan Amri ialah mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh kerajaan, khususnya Cawangan Khas.

Saman itu akan terus didengar pada 7 dan 14 Jan 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.