Kemelut Bersatu Melaka akibat krisis kepimpinan nasional, kata penganalisis

Kemelut Bersatu Melaka akibat krisis kepimpinan nasional, kata penganalisis

Isu keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi susulan 'formula' Muhyiddin Yassin kini merebak ke akar umbi.

perhimpunan agung bersatu
Seorang penganalisis berkata keadaan Bersatu kini berpuak-puak kerana kegagalan pemimpinnya menyatupadukan ahli. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Krisis kepimpinan Bersatu di peringkat nasional kini merebak sehingga ke akar umbi seperti dilihat dalam kemelut melanda bahagian parti itu di Melaka, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, masalah itu dapat dikesan sejak Julai apabila ‘formula’ Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk pemilihan parti didedahkan.

Menurut formula itu, Muhyiddin akan kekal menerajui parti, manakala Setiausaha Agung Hamzah Zainudin akan menggantikan Ahmad Faizal Azumu sebagai timbalan presiden.

Ketua Pembangkang Selangor, Azmin Ali, akan menggantikan Hamzah sebagai setiausaha agung, manakala Faizal, Radzi Jidin dan Ronald Kiandee akan mempertahankan jawatan naib presiden tanpa bertanding.

Azmi berkata, dengan formula itu ia tidak memberi ruang kepada akar umbi Bersatu untuk memilih siapa mereka mahukan bagi lima jawatan tertinggi parti.

Katanya, kemunculan tiga calon lain untuk merebut jawatan naib presiden – Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah; Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, dan Ketua Bersatu Batu Kawan, Aziss Zainal Abiddin – menunjukkan sedikit hilang rasa hormat terhadap kepimpinan Muhyiddin.

“Dengan kata lain, rancangan Muhyiddin yang bertujuan untuk menenangkan sebahagian pemimpin Bersatu telah memakan diri dan boleh menjadi ‘benang longgar’ yang memecahkan parti,” kata Azmi kepada FMT.

Julai lalu, beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan pemimpin bahagian dilaporkan tidak senang dengan formula itu, mendakwa ia bertujuan melindungi ‘individu tertentu’.

Isnin lalu, FMT melaporkan Ketua Bersatu Melaka Dr Yadzil Yaakub berdepan desakan meletak jawatan dan Mas Ermieyati Samsudin dicadang menggantikannya, susulan penggantungan Bahagian Jasin oleh MPT minggu lalu.

Seorang pemimpin akar umbi Bersatu Melaka berkata, penggantungan itu menunjukkan kelemahan Yadzil yang juga ketua Perikatan Nasional (PN) negeri mentadbir dan mengurus bahagiannya sendiri.

Bagaimanapun, Yadzil enggan melayan desakan itu.

Yadzil yang juga Adun Bemban bakal merebut kerusi MPT pada pemilihan Bersatu bulan depan.

Azmi memberi amaran ‘pergolakan’ yang berlaku di Melaka baru sebahagian kecil daripada apa sebenarnya berlaku. “Ini akan berlaku di bahagian-bahagian lain juga, jadi akan berlaku pergolakan,” katanya.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berpendapat, keadaan Bersatu kini berpuak-puak kerana pemimpin parti tidak dapat mengawal ahli mereka.

“Kerana masalah bermula dari peringkat atas, ini membawa kepada isu kepercayaan dan kini kita boleh lihat ia juga mempengaruhi akar umbi. Persaingan adalah perkara biasa, tetapi ia sepatutnya diuruskan secara dalaman untuk menunjukkan parti masih bersatu,” katanya.

Syaza berkata, masalah itu bukan sesuatu yang boleh diabaikan Bersatu.

“Apa yang dibimbanginya adalah akan berlaku pemimpin berpaling tadah dan kemudian apa yang tinggal lagi untuk Bersatu? Apa yang boleh menjadikan Bersatu terus bersatu?” katanya.

Sudah terlambat?

Awal bulan ini, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan tindakan beberapa ahli MPT yang didakwa mengingkari arahan Muhyiddin dengan bertanding untuk jawatan naib presiden.

Ditanya sama ada Muhyiddin sepatutnya mengeluarkan kenyataan bagi menunjukkan keterbukaannya terhadap jawatan dipertandingkan, Syaza berkata ia sudah terlambat, dan langkah sedemikian mungkin dilihat satu lagi pusingan U selepas Muhyiddin membatalkan keputusannya untuk meletak jawatan sebagai presiden parti.

“Pada tahap ini, saya fikir lebih baik Bersatu tidak membuat terlalu banyak kenyataan dan cuba merapatkan barisan. Tetapi Muhyiddin perlu memainkan peranannya kerana kini Hamzah dilihat lebih menonjol,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.