2 remaja tempuh detik cemas hampir diculik di Gerik

2 remaja tempuh detik cemas hampir diculik di Gerik

Van dengan nombor pendaftaran negara jiran dilaporkan dalam kedua-dua kes.

Zulkafli Sariaat
Polis sedang giat mengesan saksi dan suspek dalam siasatan ke atas kes dua remaja hampir menjadi mangsa culik di Gerik. (Gambar Bernama)
IPOH:
Dua remaja perempuan berusia 14 tahun menempuh detik cemas apabila hampir menjadi mangsa culik di Kampung Padang, Gerik dalam kejadian berasingan pada Isnin dan semalam.

Timbalan Ketua Polis Perak, Zulkafli Sariaat, berkata IPD Gerik menerima dua laporan berhubung kes itu yang berlaku berhampiran kawasan tanah perkuburan kampung berkenaan hari ini.

Dalam kejadian 6.45 pagi pada Isnin lepas, mangsa dilaporkan sedang menunggang basikal dalam perjalanan ke sekolah sebelum sebuah van kelabu berhenti di hadapannya.

Pada masa sama, sebuah lagi van warna putih menggunakan nombor pendaftaran negara jiran menghimpit di bahagian tepi sebelah kanan, serta mengikuti mangsa sehingga hadapan tanah perkuburan.

“Seorang wanita yang dikenali melihat kejadian berkenaan dan memanggil mangsa menyebabkan kedua-dua van berkenaan terus beredar,” katanya dalam kenyataan.

Kejadian kedua pula berlaku sewaktu seorang mangsa sedang berjalan kaki dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah, pada 3.20 petang semalam.

Mangsa dihimpit oleh sebuah van warna putih menggunakan nombor pendaftaran negara jiran, dan dua lelaki yang tidak dikenali memakai pelitup muka menarik beg sekolah dan menyeretnya sehingga terjatuh di kawasan tanah perkuburan.

“Bagaimanapun, pengadu diselamatkan oleh abang kandungnya yang tiba di situ dengan menendang seorang suspek, selepas itu kedua-dua suspek melarikan diri dengan menggunakan van terbabit.

Zulkafli berkata siasatan sedang dijalankan dan polis menjalankan rondaan pencegahan jenayah di sekolah, kampung serta kawasan yang berpotensi berlakunya kejadian jenayah.

“Usaha mengesan saksi dan suspek sedang giat dijalankan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Polis menasihatkan ibu bapa atau penjaga memberi perhatian yang lebih terhadap keselamatan anak-anak dengan menghantar dan mengambil mereka sendiri ketika pergi dan pulang dari sekolah bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini.

“Ibu bapa dan penjaga juga perlu menasihati anak-anak agar tidak mengikuti atau menghampiri orang yang tidak dikenali.”

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.