
Ketua Pegawai Eksekutif, Ibrahim Sani, berkata Yayasan Peneraju yang diberi ‘mandat baharu’ pada Mei lalu tidak lagi menawarkan program Peneraju Tunas dan Spesialis tetapi hanya tertumpu kepada Peneraju Profesional, Teknologi dan Skil.

“Ia sejajar dan selari dengan objektif dan matlamat kita untuk membentuk bakat-bakat Bumiputera ini sebagai pencipta nilai,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Beliau berkata, Peneraju Skil (TVET) akan tampil dengan ‘wajah baharu’ melalui penjenamaan semula dengan tawaran bentuk lain iaitu dalam lima industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).
Antaranya sektor peralihan tenaga, teknologi dan digital, elektrik dan elektronik (E&E) bernilai tinggi, pertanian masa depan serta industri nadir bumi.
Ibrahim berkata, perubahan juga dibuat kepada proses pemilihan bakat yang selama ini dipertanggungjawab kepada pengurus dan rakan program sejak penubuhan agensi itu.
“Jika tugas kita hanya membayar pengurus program dan hanya mereka yang buat kerja, membuktikan kita tiada kawalan ke atas proses pemilihan. Kini, kami akan memilih sendiri bakat-bakat ini dengan kerjasama pengurus program,” katanya.
“Kita inginkan bakat-bakat Bumiputera ini untuk bukan sahaja jadi sebagai penambah nilai tetapi menjadi pencipta nilai.”
Pada 20 Mei lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengumumkan tiga agensi bermandat Bumiputera bawah kementeriannya dijajar semula selaras matlamat memperkasa dan melonjakkan penyertaan ekonomi kelompok itu secara strategik dan berkesan.
Selain Yayasan Peneraju agensi lain adalah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas).
Rafizi berkata, menerusi penjajaran semula itu, Teraju, YP dan Ekuinas akan memainkan peranan khusus dalam ekosistem keusahawanan Bumiputera.
Sementara itu, Ibrahim berkata YP memainkan peranan dalam membangunkan bakat manakala Teraju dan Ekuinas akan fokus dalam aspek keusahawanan, ekuiti dan pemudahcara kewangan.
“‘Funneling system’ ini wujud di ketiga-tiga agensi semuanya bawah satu bumbung iaitu Kementerian Ekonomi. Diharap ia satu formula yang tepat,” katanya.