
Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) berharap cadangannya dipertimbang kerajaan bagi menangani isu banjir kilat di ibu negara.
Katanya, walaupun tidak menolak kepentingan memelihara Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya dan kreatif, beliau menekankan keperluan melihat kembali soal keutamaan.
“Mungkin ada kewajarannya jika peruntukan RM600 juta itu dinilai semula dari segi keutamaan, dengan mengambil kira penilaian kos manfaat (cost benefit analysis), sebelum memutuskan meneruskan projek pembangunan tersebut.
“Adalah lebih baik peruntukan yang besar itu digunakan untuk tujuan mitigasi bencana seperti banjir kilat, tanah jerlus, sekali gus meningkatkan keyakinan pelancong asing untuk terus menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan popular,” katanya pada perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Terdahulu, menerusi pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan, peruntukan daripada Khazanah Nasional bagi projek baik pulih dua bangunan ikonik itu adalah sebahagian usaha kerajaan memelihara Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya dan kreatif.
Ia termasuk membina jambatan bertingkat menghubungkan Taman Botani Perdana dengan Carcosa Seri Negara.