SKMM, penyedia media sosial mula rundingan awam draf kod tatalaku

SKMM, penyedia media sosial mula rundingan awam draf kod tatalaku

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkata ia bagi mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak berhubung kod tatalaku berkenaan.

socmed
Mulai 1 Jan depan, Perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar perlu memohon lesen bermula 1 Jan 2025.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memulakan rundingan awam mengenai draf kod tatalaku perlesenan bersama penyedia platform media sosial hari ini.

Dalam kenyataan, SKMM berkata rundingan awam sehingga 5 Nov itu bagi mendapatkan maklum balas daripada penyedia perkhidmatan, orang awam, pemain industri, dan pihak berkepentingan yang relevan.

“Kami amat menggalakkan penyertaan semua pihak berkaitan dalam proses rundingan awam yang akan bermula hari ini hingga 5 Nov.

“Ia peluang untuk semua pihak menyumbang kepada dasar-dasar akan membentuk masa depan persekitaran dalam talian di Malaysia bagi memastikan keselamatan ruang dalam talian kekal terjamin serta kondusif untuk pertumbuhan dan inovasi,” katanya.

Tambahnya, matlamat draf kod tatalaku itu dapat membantu mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat terutamanya kepada kanak-kanak dan juga golongan rentan yang berisiko tinggi terdedah kepada kandungan memudaratkan.

“Draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang dicadangkan oleh MCMC menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai oleh penyedia perkhidmatan yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

SKMM sebelum ini memaklumkan, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet, yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi bawah Akta 588.

Langkah itu akan dikuatkuasa bermula 1 Jan 2025.

Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menafikan dakwaan Gabungan Internet Asia (AIC) dalam surat terbukanya bertarikh 26 Ogos lepas bahawa pembangunan kerangka pelesenan media sosial tidak melibatkan proses rundingan.

Katanya, pandangan pihak berkepentingan telah diambil kira melalui beberapa siri libat urus dan rundingan berterusan sejak bulan April lepas bagi memastikan pembangunan kerangka pelesenan yang komprehensif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.