Program Campus to Career PTPTN bantu tingkat kebolehpasaran pelajar

Program Campus to Career PTPTN bantu tingkat kebolehpasaran pelajar

PTPTN menambah baik program Literasi Kewangan dan Persediaan Kerjaya dengan pengisian lebih komprehensif.

Norliza Abdul Rahim bersama peserta program Campus To Career With PTPTN di UMPSA Kampus Gambang, Isnin lalu. (Gambar PTPTN)
PETALING JAYA:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menganjurkan Program Campus to Career yang mendedahkan pelajar kepada literasi kewangan dan meningkatkan kebolehpasaran graduan ke alam pekerjaan.

Ia lanjutan program Literasi Kewangan dan Persediaan Kerjaya oleh PTPTN sejak 2022 namun ditambah baik dengan pengisian lebih komprehensif dan memanfaatkan pelajar.

Selepas penganjuran di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 25 Jun lalu, semalam PTPTN mengadakan pula di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Kuantan.

Majlis penutupan disempurnakan Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim. Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMPSA Mohd Rusllim Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Norliza berkata program itu sebahagian usaha PTPTN membantu pelajar membina asas kukuh untuk masa depan mereka menerusi kerjasama dengan institusi pendidikan dan sektor industri.

Menurutnya, pelajar akan mengikuti program pemerkasaan termasuk bengkel, seminar dan program latihan yang membantunya mempersiapkan diri memasuki dunia pekerjaan.

“Melalui pendekatan ini, PTPTN berharap ia bukan hanya mampu memperkasa pelajar dengan pembiayaan tetapi kemahiran dan pengetahuan relevan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Program C2C With PTPTN ini juga mendedahkan pelajar kepada kemahiran pengurusan kewangan yang sesuai dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya.

Menurutnya, pendedahan itu termasuk pemilihan produk simpanan yang menawarkan pelbagai manfaat serta pulangan berbaloi seperti ditawarkan PTPTN.

“Produk simpanan PTPTN iaitu Simpan SSPN antara pilihan bagi instrumen simpanan terbaik untuk persediaan pendidikan sebagai jaminan masa hadapan,” katanya.

Pada program itu, PTPTN melalui Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin menyerahkan bantuan sekali bayar RM500 kepada pelajar UMPSA dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.