Pasukan petugas ‘tak puas hati’ dengan siasatan kes Pastor Koh

Pasukan petugas ‘tak puas hati’ dengan siasatan kes Pastor Koh

Pengerusinya, Abd Rahim Uda, berkata lebih banyak usaha patut dilakukan untuk mengesan suspek utama, Saiful Bahari Abdul Aziz.

Abd Rahim Uda berkata, pasukan petugas yang menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat tidak mendapat kerjasama daripada Cawangan Khas dalam mengesan suspek utama kes-kes itu.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi pasukan petugas yang ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat memberitahu Mahkamah Tinggi, pasukannya tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis berhubung perkara itu.

Abd Rahim Uda berkata, anggota pasukan petugas percaya ‘banyak lagi akan dilakukan, (dan) lebih baik lagi’.

Katanya, lebih banyak perkara sepatutnya dilakukan untuk mengesan Saiful Bahari Abdul Aziz, suspek utama dalam kedua-dua kes kehilangan itu.

Rahim berkata, pasukan petugas telah mengenal pasti Saiful sebagai suspek utama kerana keretanya dikesan di lokasi kedua-dua Koh dan Amri didakwa diculik.

“Kami ada meminta pegawai penyiasat kami untuk mengesan Saiful, tetapi dia tidak dapat ditemui,” kata Rahim dalam keterangannya.

“(Daripada siasatan kami) Saiful adalah seorang pekerja kontrak bawah Cawangan Khas selama 12 tahun.

“Kami rasa tidak munasabah untuk dia bekerja bawah kontrak selama lebih 10 tahun. Dia sepatutnya disahkan (sebagai pegawai sepenuh masa) jika prestasinya bagus.”

Rahim memberikan keterangan dalam saman yang difailkan oleh isteri Koh, Susanna Liew, bagi pihak keluarganya, terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan pastor itu.

Liew mahu pihak berkuasa dipertanggungjawabkan atas kehilangan suaminya dan misfeasans (salah laku) dalam jawatan awam.

Ditanya oleh peguam Steven Thiru sama ada pasukan petugas berpendapat pegawai penyiasat telah melakukan yang terbaik untuk menjejaki Saiful, Rahim berkata: “Kadangkala, sesuatu yang lebih perlu dilakukan.”

“Dia (Saiful) menghilangkan diri selepas kedua-dua kes diketahui umum. Ini menimbulkan banyak persoalan,” tambahnya

‘Tiada kerjasama daripada Cawangan Khas’

Rahim juga memberitahu mahkamah, pasukan petugas itu tidak mendapat kerjasama penuh daripada Cawangan Khas untuk mengesan Saiful.

“Terdapat notis media dikeluarkan untuk memaklumkan orang ramai bahawa polis sedang mencari Saiful,” katanya.

Polis, termasuk penyelia Saiful, Azizi Abd Hamid, sepatutnya tahu di mana suspek berada, serta rumah dan keluarganya.

“Kami beranggapan sama ada Saiful enggan tampil bekerjasama dengan pasukan petugas atau ada yang menghalangnya daripada tampil,” tambahnya.

Rahim juga berkata, pasukan petugas mengesyorkan agar suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dibentuk untuk menyiasat kes kehilangan Koh dan Amri.

“Kami (pasukan petugas) tiada kuasa memanggil saksi memberi kenyataan, tidak seperti RCI. Kami perlu polis dan SPRM untuk membantu kami (dalam menjalankan semua siasatan),” katanya.

Saman akan terus didengar di hadapan Hakim Su Tiang Joo esok.

Suhakam mengadakan inkuiri awam berhubung kehilangan Koh dan Amri antara 2017 dan 2019.

Inkuiri itu mencapai kesimpulan bahawa Koh dan Amri menjadi mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh kerajaan, khususnya menerusi Cawangan Khas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.