
Sebaliknya, Adun Bemban yang juga ketua Perikatan Nasional (PN) Melaka itu mempersoalkan sama ada ‘akar umbi enggan dikenali’ dipetik FMT malam tadi, mewakili sebilangan besar ahli Bersatu atau hanya kelompok kecil.
“Menjadi lumrah pemimpin tak akan boleh puaskan hati semua orang, ini (gesaan letak jawatan) petunjuk saya orang hebat…saya yakin telah buat yang terbaik sehingga ada iri hati dengan kejayaan serta berusaha jatuhkan saya.
“Politik itu bukan syarikat yang boleh kita lantik kakitangan berdasarkan kelayakan masing-masing,” katanya kepada FMT, sambil menyifatkan ‘perebutan’ jawatan dalam Bersatu Melaka sebagai positif dan menunjukkan ia menjadi pilihan biarpun berstatus pembangkang.
Beliau mengulas laporan FMT malam tadi memetik seorang akar umbi Bersatu yang menggesa Yadzil berundur dan mencadangkan Mas Ermieyati Samsudin mengambil alih jawatan itu, susulan penggantungan Bersatu Jasin oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), minggu lalu.
Mas Ermieyati adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah dan bakal mengetuai Wanita Bersatu selepas Rina Harun menarik diri daripada mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti bulan depan.
Dakwa sumber, situasi itu menunjukkan kelemahan Yadzil mentadbir dan mengurus bahagiannya sendiri.
Ahad lalu, FMT melaporkan Bersatu Jasin digantung dipercayai berpunca ada cawangannya gagal mengadakan mesyuarat.
Setiausaha Agung Hamzah Zainudin memaklumkan perkara itu menerusi surat bertarikh 14 Okt dan berkata pengurusan serta pentadbiran Bersatu Jasin diambil alih oleh MPT.
Sumber parti memberitahu keputusan itu diambil selepas siasatan mendapati ada cawangan tidak mengadakan mesyuarat, berbeza dengan laporan bahagian kepada ibu pejabat.