LatestHeadlines

Ismail Sabri santuni 4 beradik yatim sempena Deepavali

By: FMT Reporters

Pengerusi YKM itu berkata, sebanyak RM10,900 diperuntukkan setahun untuk meringankan beban empat beradik yang kehilangan ibu akibat Covid-19 itu.

Cover Image for Ismail Sabri santuni 4 beradik yatim sempena Deepavali

Test Robo Gallery 2

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa hari ini menyantuni anak yatim empat beradik di Taman Bukit Mutiara, Seremban, yang kehilangan ibu mereka akibat Covid-19 pada 2021.

Selepas pemergian ibu mereka, Tamilselvi Gunasigaran, Ranjini Maheswaran, 17, dan adik-adiknya, Sumen Raj (15), Kishor Raj (14) dan Bhuvana (10), dipelihara oleh ibu saudara mereka, Magies Gunasigaran.

Empat adik beradik itu, yang telah terputus hubungan dengan bapa kandung mereka sejak sembilan tahun lepas, kini menumpang teduh di rumah datuk mereka, Gunasigaran Suppiah, 61, yang uzur dan tidak bekerja.

Ismail yang juga pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM10,900 setahun untuk meringankan beban empat beradik itu.

“Mereka berhadapan dengan dugaan yang cukup besar untuk meneruskan kelangsungan hidup. Situasi ini pasti akan memberikan kesan jangka panjang kepada anak-anak ini jika kita tidak memberikan perhatian yang serius kepada masa depan mereka.

“Kita tidak boleh menutup mata atau mengabaikan nasib anak yatim dan yatim piatu akibat Covid-19 seperti ini yang berada di sekeliling kita,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, sumbangan turut diberikan kepada sembilan lagi keluarga sempena Deepavali.

“Lima keluarga di Selangor, dua keluarga di Negeri Sembilan, dan dua buah keluarga lagi di Melaka dan Pahang akan menerima sumbangan serupa pada hari ini dan akan dikreditkan ke akaun masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, YKM yang ditubuhkan sejak 2021 memperuntukkan sebanyak RM5 juta setahun untuk terus membantu hampir 1,000 anak-anak yatim dan yatim piatu merentasi agama dan bangsa.

Katanya, peruntukan itu disalurkan melalui inisiatif seperti Bantuan Kasih YKM, Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading dan Hadiah Kecemerlangan SPM.

“YKM kini sedang melaksanakan pemutihan data bagi mengemaskini maklumat diri dan keluarga penerima bantuan melalui borang yang telah dihantar menerusi emel dan WhatsApp.

“Pengemaskinian maklumat diri dan keluarga ini perlu bagi memudahkan penyaluran bantuan dan program untuk 2025,” katanya.