Henti ‘halang’ kebebasan suara ahli akademik, Kok beritahu IPT

Henti ‘halang’ kebebasan suara ahli akademik, Kok beritahu IPT

Teresa Kok sokong pendirian menteri pendidikan Akta 605 tidak harus jadi alat sekat kebebasan keluar pendapat, selagi fakta tepat.

universiti
Teresa Kok berkata, keberanian ahli akademik menyuarakan pandangan menjadi kekuatan untuk kemajuan negara. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menyeru semua institusi pengajian tinggi (IPT) agar berhenti mengeluarkan sebarang arahan bagi menyekat kebebasan bersuara ahli akademik mahupun pelajar.

Naib pengerusi DAP itu berkat, beliau menyokong pendirian Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir bahawa Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) tidak harus menjadi alat untuk menekan pendapat golongan tersebut.

“Suara akademik tidak patut ditekan atau dibungkam. Kebebasan akademik memainkan peranan penting untuk mendorong inovasi, membentuk pemikiran kritikal, dan mempromosikan kemajuan sosial.

“Ahli akademik Malaysia haruslah berani menyuarakan pandangan, kerana pemikiran mereka adalah kekuatan yang penting untuk kemajuan negara,” katanya dalam kenyataan.

teresa kok
Teresa Kok.

Tambahnya, pendirian Zambry selaku menteri berkaitan penting bagi memastikan universiti terus menjadi tempat pertukaran fikiran dan pertembungan idea dalam pembangunan negara.

Semalam, Zambry menegaskan kebebasan bersuara golongan ahli akademik tetap akan dipertahankan selagi berasaskan fakta tepat.

Katanya, beliau tidak mahu melihat wujud sebarang tindakan untuk mengekang hak dan kebebasan ahli akademik dalam mana-mana universiti.

Ini selepas isu surat pekeliling dikeluarkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada seluruh warga akademik dan petugas berhubung arahan supaya pegawai awam tidak mengeluarkan kenyataan awam termasuk di media sosial.

Pada 18 Okt, UKM menafikan pihaknya menghalang kebebasan mana-mana warga akademik dan petugas untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis, termasuk di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.