Buat jadual MP hadir sidang Dewan Rakyat, kata aktivis

Buat jadual MP hadir sidang Dewan Rakyat, kata aktivis

Thomas Fann berkata kegagalan Parlimen untuk bersidang kerana tidak cukup korum mencemar demokrasi berparlimen negara.

Sidang Dewan Rakyat petang tadi terpaksa ditangguhkan awal kerana tidak cukup korum. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aktivis advokasi demokrasi Thomas Fann mencadangkan Ahli Parlimen diberi jadual untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat berikutan penangguhan awal semalam kerana tidak cukup korum.

Beliau berkata kegagalan Dewan Rakyat untuk bersidang kerana tidak cukup korum mencemar demokrasi berparlimen negara dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem kerajaan.

Fann, yang mengetuai NGO reformasi Projek Sama, juga berkata rakyat Malaysia mungkin merasakan suara mereka tidak diwakili di Parlimen kerana ketidakhadiran Ahli Parlimen mereka, yang boleh membawa kepada penurunan peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya akan datang.

“Rakyat mengharapkan wakil mereka hadir di Dewan Rakyat apabila ia bersidang (dan) semua parti dan gabungan harus mengambil langkah untuk memastikan Ahli Parlimen mereka hadir semasa persidangan Parlimen,” katanya kepada FMT.

“Saya cadangkan mereka menjadualkan Ahli Parlimen mereka untuk menghadiri persidangan berdasarkan bidang kepakaran atau minat mereka, bergantung kepada agenda.”

“Parti-parti harus membentuk jawatankuasa bayangan untuk kementerian dan Ahli Parlimen dalam jawatankuasa ini mesti hadir apabila isu-isu berkaitan kementerian berkaitan dibentangkan.”

Beliau berkata peranan utama Parlimen adalah untuk bertindak sebagai semak dan imbang kepada eksekutif dan memastikan perdana menteri dan Jemaah Menterinya tidak meneruskan dasar dan perundangan yang cacat atau merugikan rakyat.

Bekas pengerusi Bersih itu juga menegaskan matlamat persidangan Dewan Rakyat bukan sekadar memenuhi korum 26 Ahli Parlimen, tetapi berkesan sebagai pemeriksa dasar dan perundangan yang dibahaskan dan diluluskan di Parlimen.

“Tetapi, jika kurang daripada satu perlapan atau 12% daripada Ahli Parlimen yang hadir, ia adalah gambaran lemah terhadap peranan penting ini,” katanya.

Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) semalam membangkitkan Peraturan Mesyuarat 13(1), selepas mendapati kehadiran Ahli Parlimen tidak mencukupi sekurang-kurangnya 26 orang dalam Dewan.

Selepas itu, Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang mempengerusikan sementara Dewan Rakyat mengarahkan loceng dibunyikan selepas hanya ada 19 Ahli Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.