
Beliau berkata, ketidakseimbangan pengagihan kekayaan perlu segera diatasi bagi memastikan model ekonomi yang dilaksanakan difahami dan diterima rakyat.
“Perbezaan gaji antara pekerja bawahan dan kumpulan pentadbiran tertinggi kini mencapai sehingga 20 kali ganda. Sebagai contoh, junior eksekutif di syarikat besar mendapat gaji 10 kali lebih rendah berbanding kumpulan pengurusan tertinggi.
“Jika isu ini tidak diatasi, walaupun model ekonomi dilaksanakan adalah baik, rakyat biasa tidak akan memahami atau merasai manfaatnya,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Shahar mengaitkan isu itu dengan inisiatif kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam dan pekerja sektor swasta sebagai salah satu cara untuk mengurangkan jurang pendapatan.
Namun, beliau mengingatkan kenaikan gaji semata-mata tidak mencukupi jika subsidi terus diberikan kepada golongan berpendapatan tinggi.
Sementara itu, beliau menegaskan pengurangan hutang negara secara drastik bukan langkah wajar kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada dua aspek penting iaitu pembangunan negara dan kitaran ekonomi dalaman, justeru ia perlu dilakukan secara beransur-ansur.
“Sekiranya kedua perkara ini, kita telah dapat atasi semata-mata untuk memenuhi kehendak hutang itu perlu dikurangkan. Saya fikir kerajaan tidak akan melakukan tindakan sedemikian,” kata bekas timbalan menteri kewangan.
Shahar turut menggesa kerajaan mengambil serius bagi memastikan limpahan ekonomi secukupnya dihasilkan daripada projek infrastruktur utama termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Beliau berharap pembangunan stesen ECRL tidak mengulangi kesilapan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di pantai timur, di mana tiada pembangunan limpahan di sekitarnya.
“Saya harap sangat ECRL jangan mengulangi perkara sama, jajaran ekonomi mesti bermula daripada stesen tersebut. Ini kerana pelaburan yang kita lakukan dalam ECRL, memberi kesan kepada negara pada masa akan datang.”