Undur Yadzil, akar umbi mahu Mas Ermieyati ketuai Bersatu Melaka

Undur Yadzil, akar umbi mahu Mas Ermieyati ketuai Bersatu Melaka

Ahli Parlimen Masjid Tanah dicadang ganti Dr Yadzil Yaakub sebagai ketua Bersatu Melaka susulan penggantungan Bahagian Jasin.

MAS ERMIEYATI
Mas Ermieyati Samsudin yang bakal mengetuai Wanita dicadang mengambil alih jawatan ketua Bersatu Melaka.
PETALING JAYA:
Ketua Bersatu Melaka Dr Yadzil Yaakub digesa berundur susulan penggantungan Bahagian Jasin dan Mas Ermieyati Samsudin dicadang mengambil alih jawatan itu.

Akar umbi Bersatu Melaka enggan dikenali berkata, penggantungan itu menunjukkan kelemahan Yadzil yang juga ketua Perikatan Nasional (PN) negeri mentadbir dan mengurus bahagiannya sendiri.

“Kita perlukan seorang nakhoda baru yang lebih kuat dan cemerlang dalam menguruskan parti.

“Kita ada Mas Ermieyati Samsudin individu cukup berpengalaman dalam politik dan beliau pada saat ini mesti mengambil alih tampuk kepimpinan Bersatu andai Bersatu terus mahu tawan Melaka,” katanya kepada FMT.

Mas Ermieyati adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah dan bakal mengetuai Wanita Bersatu selepas Rina Harun menarik diri daripada mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti bulan depan.

Terdahulu, Yadzil mendakwa kedudukannya yang memegang jawatan tertinggi parti itu di Melaka menyebabkannya menjadi sasaran ‘lawan’ sehingga bahagian diketuainya digantung, minggu lalu.

Yadzil berkata, sebagai calon Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang diramalkan pasti menang pada pemilihan parti bulan depan, ada usaha untuk menggagalkan kejayaannya.

Semalam, FMT melaporkan Bahagian Jasin digantung dipercayai berpunca ada cawangannya gagal mengadakan mesyuarat.

Setiausaha Agung Hamzah Zainudin memaklumkan perkara itu menerusi surat bertarikh 14 Okt, dan berkata pengurusan serta pentadbiran Bersatu Jasin diambil alih oleh MPT.

Sumber parti memberitahu FMT, keputusan itu diambil selepas siasatan mendapati ada cawangan tidak mengadakan mesyuarat, berbeza dengan laporan bahagian kepada ibu pejabat.

Sementara itu, akar umbi tersebut turut menggesa Bahagian Tangga Batu digantung dengan mendakwa mesyuarat peringkat cawangan yang diadakan tidak cukup ahli dan berlaku penipuan dalam catatan minit mesyuarat.

“Kepimpinan perlu mengorak langkah mengambil tindakan drastik dengan menyelamatkan Bersatu Melaka dan memperkukuh parti ini di peringkat negeri sebelum kita memasuki PRN sekiranya benar-benar mahu menawan negeri ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.