
Yadzil berkata, sebagai calon Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang diramalkan pasti menang pada pemilihan parti bulan depan, ada usaha untuk menggagalkan kejayaannya.
“Melaka antara negeri mempunyai kesatuan kuat antara setiap bahagian bawah kepimpinan saya, sudah pasti menjadi rebutan setiap calon bertanding untuk mendapat undi kukuh.
“Mungkin ini cara pihak lawan lemahkan saya. Percayalah, mereka silap percaturan.
“Saya tidak rasa gentar dan tidak takut, malah saya semakin kuat dan semakin yakin dengan sokongan semua sahabat seperjuangan yang tetap bersama saya,” katanya kepada FMT.
Ketua Perikatan Nasional (PN) Melaka itu turut mengesahkan penggantungan Bersatu Jasin, namun menjelaskan ia proses normal bagi memastikan kelancaran pemilihan.
“Ia proses normal pengurusan parti untuk pastikan pemilihan berjalan lancar tanpa ada masalah,” katanya.
Semalam, FMT melaporkan Bahagian Jasin digantung dipercayai berpunca ada cawangannya gagal mengadakan mesyuarat.
Setiausaha Agung, Hamzah Zainudin, memaklumkan perkara itu menerusi surat bertarikh 14 Okt, dan berkata pengurusan dan pentadbiran Bersatu Jasin diambil alih oleh MPT.
Sumber parti memberitahu FMT keputusan itu diambil selepas siasatan mendapati ada cawangan tidak mengadakan mesyuarat, berbeza dengan laporan bahagian kepada ibu pejabat.
Yadzil yang juga Adun Bemban akan mempertahankan jawatan ketua Bersatu Jasin ditentang Ketua Wanita Jasin Jeehan Adam.