
Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris, berkata hasil semakan dengan pihak Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta tiada latihan berkaitan letupan dijalankan hari ini manakala semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga mendapati tiada letupan dijalankan di kuari sebelum 12 tengah hari.
Beliau berkata, hasil semakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula mendapati Malaysia khususnya di Ipoh tidak terkesan sebarang aktiviti seismik walaupun terdapat kejadian gempa bumi yang berlaku di Halmahera, Indonesia pada 11.24 pagi tadi.
“Polis sedang menyiasat insiden ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Kontinjen Perak di talian 05 2451119 atau 05 2451073,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau berkata orang ramai diminta bertenang dan tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian itu sehingga mencetuskan kegusaran awam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak Nizarulikram Abdul Rahim mengesahkan bunyi letupan dan gegaran bukan disebabkan kerja letupan di kuari.
“Pada masa ini kami pun tidak dapat nak beri pengesahan tetapi bukan sebab kuari, yang itu memang sah saya berani cakap,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, pihaknya membuat semakan tidak lama selepas kejadian itu dan mendapati tiada kerja peletupan kuari hari ini, selain syarat dikeluarkan JMG aktiviti peletupan perlu dilakukan antara 12 tengah hari hingga 5 petang dari Isnin hingga Khamis sahaja.
“Jadi kejadian berlaku lebih kurang 11.06 pagi bermakna bukan disebabkan oleh aktiviti kuari. Kami juga telah menghubungi persatuan kuari di Perak, maklumat sama diperoleh, bermakna tiada aktiviti letupan kuari pada masa berkenaan,” katanya.
Nizarulikram berkata, kejadian hari ini adalah insiden ketiga selepas kali pertama pada Jun 2012 dan 4 Okt 2018, dengan semuanya berlaku sekitar 11 pagi selain puncanya masih misteri.