
Membangkitkan Peraturan Mesyuarat 44 (5), Takiyuddin (PN-Kota Bharu) berkata walaupun Wan Fayhsal dilarang daripada mengambil bahagian dalam sidang Parlimen susulan penggantungannya, tetapi beliau tidak sepatutnya dihalang menjadi pemerhati di galeri itu.
Takiyuddin yang juga bekas menteri undang-undang itu berkata kesungguhan Wan Fayhsal untuk hadir menunjukkannya beliau seorang Ahli Parlimen yang komited dan prihatin.
Minggu lalu, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dalam suratnya memberitahu Wan Fayhsal tidak dibenarkan berada di galeri awam atau bilik pegawai kerajaan bertugas di Dewan Rakyat.
Beliau berkata ini kerana ketua Pemuda Bersatu itu masih menjalani penggantungan mengikut Peraturan Mesyuarat 44(5).
Dalam pada itu, Ronald Kiandee (PN-Beluran), yang juga bekas timbalan speaker Dewan Rakyat mempersoalkan petua baharu itu.
Beliau menjelaskan ada wakil rakyat digantung tetapi dibenarkan duduk sebagai pemerhati.
“Jika ikut perlawanan bola sepak, apabila pemain dibuang padang, dia boleh duduk di galeri awam untuk menonton perlawanan itu,” katanya di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Timbalan Speaker Ramli Nor berkata beliau tidak boleh membuat keputusan berkenaan isu itu kerana terletak di bawah bidang kuasa Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Wan Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 18 Jula lalu susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Usul berhubung penggantungan Wan Fayhsal dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.