
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata ini sebagai ikhtiar untuk membangunkan kefahaman dan tradisi keilmuan yang boleh membugar kekuatan dalaman umat Islam.
Anwar berkata, rancangan itu dibincangkan pada perjumpaan beliau dengan Setiausaha Agung Majlis Hukama’ Muslimin, Muhamed Abdul Salam di Putrajaya hari ini.
“Kami telah berbincang mengenai rancangan pertemuan seterusnya bersama Imam Besar Al-Azhar Fadhilatul Imam Al-Akbar Ahmed Al-Tayyib dalam masa terdekat, dalam mengembangkan lagi perbincangan mengenai tema ucapannya di Kuala Lumpur sebelum ini bertajuk ‘Kesederhanaan Umat Islam, Pengajaran dari Masa Lalu dan Cabaran Masa Hadapan’,” kata perdana menteri.
Sebelum ini, Anwar menyifatkan lawatan khas Sheikh Al-Azhar ke Malaysia dari 2 hingga 5 Julai lalu sebagai penghormatan besar kepada negara kerana menerima kunjungan seorang tokoh dan imam besar yang dihormati serta dimuliakan dunia Islam.