
Tertuduh, Abdul Azam Abdul Hamid, 34, bagaimanapun mengaku bersalah bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, menurut Berita Harian.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan dua perbuatan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan satu terhadap kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di sebuah pusat qasidah di Bukit Katil, 1.30 pagi pada 3 Februari lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Mengikut siasatan polis, tertuduh adalah penjawat awam sebagai pembantu perubatan sebuah hospital di Melaka dan bekerja sambilan sebagai guru qasidah di pusat berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain manakal tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan namun mencadangkan RM20,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin berserta syarat tambahan.
Tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana berasal dari keluarga susah selain ayahnya baharu berhenti kerja dan ibunya sakit.
Selepas meneliti hujah kedua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 bagi semua pertuduhan serta syarat melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 18 Nov bagi serahan dokumen dan lantikan peguam bela.