
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, berkata sebaiknya pelaksanaan gaji minimum diberi penangguhan setahun iaitu bermula 2026 bagi membolehkan pihak industri khususnya pemain PKS membuat penyesuaian dan persediaan.
“Ini memandangkan kos buruh sebenarnya besar dalam menyumbang kepada peningkatan kos operasi selain kos utiliti, bahan mentah dan pengangkutan.
“Sebab itu, perkara ini perlu dibuat dengan cermat,” kata Ahli Parlimen Larut dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, kerajaan setuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Feb 2025.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memberi penangguhan untuk tempoh enam bulan kepada majikan mempunyai kurang lima pekerja bermula 1 Ogos.

Hamzah berkata, pembangkang setuju pelaksanaan gaji minimum itu namun jika dikuatkuasakan pada Februari tahun depan pihaknya bimbang ada PKS akan ‘gulung tikar’.
Sementara itu, Hamzah menggesa royalti minyak diberikan kepada Terengganu dan Kelantan.
Katanya, tidak adil bagi rakyat Terengganu dan Kelantan apabila sumber pendapatan kerajaan negeri mereka terpaksa bergantung kepada pemberian kerajaan persekutuan.
“Sedangkan, sekiranya royalti minyak Terengganu dan Kelantan diberikan mengikut lunas perundangan negara, kebergantungan Terengganu dan Kelantan kepada kerajaan persekutuan dapat dikurangkan dengan signifikan.
“Hasil peratus pendapatan mereka daripada hasil kutipan cukai akan meningkat lebih tinggi,” katanya.