Usah sebar naratif palsu penyasaran subsidi RON95, kata setpol Anwar

Usah sebar naratif palsu penyasaran subsidi RON95, kata setpol Anwar

Muhammad Kamil Abdul Munim tegur seorang wakil rakyat PAS tidak sebut usaha kerajaan henti 40% bahan api subsidi dinikmati T15 dan warga asing.

Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perdana menteri pada pembentangan Belanjawan 2025 beri jaminan 85% rakyat terbanyak tidak akan terkesan penyasaran RON95 pertengahan tahun depan. (Gambar Bernama)
IPOH:
Dakwaan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berhubung cadangan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun depan dilihat cubaan mewujudkan naratif palsu bagi mengelirukan rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sebagai seorang pemimpin, Fadhli seharusnya memahami dan meneliti cadangan itu secara menyeluruh sebelum mengeluarkan kenyataan bersifat ‘separuh masak’.

“Mengapa (Fadhli) tidak menyebut sekali subsidi penyasaran berkenaan lebih tertumpu kepada usaha untuk menghentikan penggunaan 40% bahan api bersubsidi oleh golongan T15 dan warga asing? Itulah ibu segala isi cadangan kerajaan.

“Malah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan jaminan 85% rakyat terbanyak tidak akan terkesan dengan cadangan itu. Perkara ini tidak diceritakan, yang diceritakan ialah kisah ‘separuh masak’, iaitu kerajaan nak tarik subsidi,” katanya dalam kenyataan.

Pada Jumaat, Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mendakwa jangkaan penarikan subsidi RON95 dilaksanakan selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK Mahkota 28 Sept menjadi kenyataan.

Muhammad Kamil berkata, sehingga kini pembangkang bukan sahaja gagal memberikan kritikan membina, sebaliknya kerap mewujudkan spekulasi jahat membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.

“Kerajaan berdepan cabaran dan asakan berlandaskan fitnah dan kecaman kerana hasutan mereka membangkitkan emosi, sikap prasangka serta kebencian, dan bukannya menggunakan pertimbangan rasional,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, rakyat tidak perlu bimbang kerana ketetapan dibuat kerajaan berhubung penyasaran subsidi itu bertujuan membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok kaya dan warga asing.

“Malah, kerajaan juga menegaskan penjimatan itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak, membiayai pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam di negara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.