Tenaga kerja, kos halang hotel benar penginapan sehingga 23 jam

Tenaga kerja, kos halang hotel benar penginapan sehingga 23 jam

Sekiranya keadaan mengizinkan, pihak hotel ada membenarkan pelanggan mendaftar masuk lebih awal dan keluar lebih lewat, kata pengusaha.

receptionist hotel
Pengusaha hotel digesa agar menyelaraskan masa daftar masuk dan daftar keluar agar pelanggan dapat menginap sekurang-kurangnya 23 jam. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Pengusaha hotel bersetuju dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing yang mencadangkan bahawa tenaga kerja dan kos menjadi halangan terbesar bagi pihak hotel untuk melonggarkan masa daftar masuk dan daftar keluar pelanggan.

Menurut pengusaha hotel, tidak seperti yang dilaporkan, pihak hotel ada memberikan kelonggaran agar pelanggan dapat mendaftar masuk lebih awal dan keluar lebih lewat, jika keadaan mengizinkan.

Semalam, Tiong berkata, pengusaha hotel perlu menyelaraskan masa daftar masuk dan daftar keluar agar pelanggan dapat menginap sekurang-kurangnya 23 jam.

Katanya, tempoh penginapan 23 jam lazim diamalkan di luar negara, dengan pelanggan boleh mendaftar masuk pada 2 petang sebelum mendaftar keluar pada 1 petang keesokan harinya, contohnya.

Mengakui kekurangan tenaga kerja hotel menyebabkan proses penyediaan bilik memakan masa lebih lama, Tiong memberi jaminan akan berunding dengan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pengambilan pekerja asing dalam industri hotel.

Tiga pengusaha hotel yang ditemu bual FMT menyebut kekurangan tenaga kerja dan kos menjadi sebab utama mereka mengekalkan tawaran tempoh penginapan 21 jam seperti sekarang ini.

Mereka berkata, walaupun peraturan daftar masuk 3 petang dan daftar keluar tengah hari masih diguna pakai, mereka masih akan membenarkan pelanggan daftar masuk awal dan daftar keluar lewat jika ada bilik tersedia.

“Ada masanya, pelanggan daftar masuk berterusan pada musim puncak,” kata Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Khoo Boo Lim.

Beliau berkata, hotel cuba menyiapkan bilik dalam tempoh kurang 30 minit selepas pelanggan keluar. Bagaimanapun, katanya, kadangkala lebih masa diperlukan bergantung kepada keadaan bilik.

“Ada pelanggan yang menyulitkan keadaan, jadi kami harap pihak berkuasa tidak hanya mendengar sebelah pihak,” katanya.

Pengerusi MAH Pulau Pinang Tony Goh berkata, jika bukan tempoh puncak, hotel malah membenarkan tetamu mendaftar masuk seawal 7 pagi tanpa caj tambahan, dan daftar keluar selewat 3 petang.

Pengerusi MAH Johor Ivan Teo pula berkata, selain isu tenaga kerja, kos turut menjadi faktor utama menyebabkan pihak hotel tidak mampu menyediakan penginapan 23 jam buat masa ini.

“Jika menteri dapat menyediakan tenaga kerja yang mencukupi serta memastikan keadilan bagi semua pihak, termasuk bertindak mengawal selia pengusaha tidak berlesen, mungkin kami boleh pertimbang cadangannya,” katanya.

Pengusaha hotel berkata, sebagai pemilik perniagaan, matlamat utama mereka adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan agar mereka akan kembali.

Perbahasan isu masa daftar masuk dan daftar keluar tercetus susulan hantaran pengguna platform media sosial X yang mengadu tentang dasar hotel menetapkan daftar masuk pada 4 petang, dan daftar keluar pada 11 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.