Tambah modul literasi digital tangani pornografi kanak-kanak, kerajaan diberitahu

Tambah modul literasi digital tangani pornografi kanak-kanak, kerajaan diberitahu

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia Siraj Jalil berkata modul itu perlu bermula di prasekolah bagi meningkatkan kesedaran bahaya jenayah siber.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia Siraj Jalil berkata modul dicadangkan perlu ada etika penggunaan digital, kesihatan mental, perundangan dengan pendedahan terhadap jenayah siber. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa menambah modul literasi digital dalam mana-mana mata pelajaran bermula di peringkat prasekolah bagi menangani isu peningkatan kes pornografi kanak-kanak.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil, berkata langkah itu perlu memandangkan statistik kes membabitkan golongan terbabit yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan amat membimbangkan.

“Dalam modul yang dicadangkan perlu ada etika penggunaan digital, kesihatan mental, perundangan dengan pendedahan setiap kesalahan yang dilakukan boleh terdedah kepada jenayah siber.

“Jadi benda-benda itu banyak kesan dari penggunaan digital. Jika ia tidak digunakan dengan berilmu akhirnya membentuk pengguna yang pelbagai dan menjurus kepada masalah pornografi,” katanya kepada FMT.

Katanya, kerajaan juga perlu melaksanakan kajian mengenai usia sebenar kanak-kanak di negara ini menggunakan peranti digital walaupun had umur minimum ditetapkan untuk menggunakan media sosial adalah 13 tahun.

“Kerajaan kena terbitkan indeks, bila ada indeks semua pihak boleh ambil tindakan yang sesuai,” katanya.

Rabu lalu, Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata kesalahan pornografi kanak-kanak melambung hampir 140%, selain kes jenayah seksual melibatkan golongan itu meningkat 1,567 kes tahun lalu, berbanding 1,239 kes pada 2022.

Katanya, selain itu kes jenayah seksual kanak-kanak juga meningkat 26.5%.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia, Mohd Alif Jasni, menggesa ibu bapa memastikan penggunaan internet yang selamat untuk anak mereka.

“Mereka perlu semak laman web yang dilayari anak-anak. Perbualan terbuka mengenai isu sensitif perlu digalakkan agar anak-anak berasa selesa berkongsi pengalaman tanpa rasa takut,” katanya.

Katanya, selain mempergiatkan kempen kesedaran, kerajaan perlu bekerjasama dengan syarikat teknologi untuk membangunkan alat bagi menyekat akses kepada kandungan tidak sesuai untuk golongan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.