
Yang Dipertua Usia Sapawi Ahmad menyatakan sokongan badan bukan kerajaan (NGO) Islam itu terhadap langkah diambil kerajaan persekutuan untuk menggubal RUU Mufti.
Katanya, penggubalan RUU Mufti adalah usaha murni selaras dasar kerajaan Madani yang menekankan kemajuan dan ketamadunan dalam masyarakat berdasarkan ilmu pengetahuan dan khazanah tradisi Islam.
“Kita bersetuju RUU Mufti ini digubal kerana ia selari dengan Enakmen Fatwa Negeri Sabah berhubung mufti yang diluluskan pada 2004.
“Bermakna, Sabah sudah memiliki undang-undang serupa selama lebih 20 tahun. Jika diteliti balik sejarah undang-undang ini, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik tanpa sebarang kesan negatif,” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.
Sapawi berkata, RUU itu dan Enakmen Fatwa Negeri Sabah yang mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah menunjukkan undang-undang sedia ada di negeri tersebut sealiran dengan RUU Mufti.
Beliau berpendapat, RUU itu penting bagi mempersiapkan umat Islam dalam mengharungi era globalisasi semakin terdedah kepada aliran ajaran sesat yang pelbagai dan kekeliruan dalam penghayatan Islam.
“Menerusi RUU itu, pengasingan kuasa antara Jabatan Agama Islam, mufti dan Mahkamah Syariah akan kelihatan lebih jelas.
“Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam yang mengakibatkan tafsiran salah hingga menghalang usaha murni kerajaan bagi mengukuhkan pentadbiran Islam dalam negara.
“Kita mahu agama Islam bagi yang Muslim bukan hanya untuk dihormati tetapi dari segi undang-undang ianya teratur,” katanya.