Polis bongkar sindiket cecair dadah dalam vape

Polis bongkar sindiket cecair dadah dalam vape

Ketua Polis Johor M Kumar berkata katrij berkenaan kemudian dijual ke pasaran pada harga antara RM200 hingga RM300.

M KUMAR
M Kumar berkata, nilai rampasan keseluruhan sindiket itu melibatkan lebih RM2.82 juta. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis Johor membongkar sindiket memasukkan cecair dadah dalam katrij vape melibatkan nilai rampasan lebih RM2.82 juta.

Ketua Polis Johor M Kumar, berkata katrij berkenaan kemudian dijual ke pasaran pada harga antara RM200 hingga RM300.

Katanya, tiga serbuan sekitar daerah Johor Bahru membawa penangkapan dua lelaki dan seorang wanita, minggu lalu, kemudian disusuli penahanan seorang lelaki di parkir pangsapuri pada 6.45 petang, 16 Okt.

Susulan penangkapan mereka, dua lagi serbuan dilakukan dengan menahan pasangan dipercayai kekasih pada 4 pagi, 17 Okt.

“Sindiket ini telah aktif beroperasi sejak Ogos lalu. Bagaimanapun, mereka baharu menyewa di semua pangsapuri terbabit selama seminggu.

“Ini modus operandi mereka juga apabila menjalankan kegiatan ini dengan berpindah-randah. Mereka menyewa di satu-satu lokasi kira-kira seminggu, sebelum berpindah ke lokasi lain bagi tujuan mengelakkan daripada dikesan,” katanya menurut Harian Metro pada sidang media di IPK Johor, Johor Bahru.

Polis merampas 16,345g dadah disyaki serbuk ekstasi; 225g ketamin; 68.87g syabu; 140 biji pil erimin 5; 294 biji pil ekstasi, 14.75g ganja, dan 330ml cecair disyaki dadah dalam 10 katrij vape, serta lima botol isian semula cecair vape.

Katanya, semua nilai rampasan dadah itu mencecah lebih RM2.82 juta dan boleh digunakan seramai 76,621 penagih.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap tiga suspek yang berusia 27 hingga 44 tahun itu mendapati mereka positif methamphetamine, manakala semakan rekod lampau mendapati dua daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah dan dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.