
Ia menyusul peruntukan Belanjawan 2025 sebanyak RM12.8 bilion untuk skim itu, yang memberi pinjaman sehingga RM500,000 untuk pembeli rumah pertama.
Dalam kenyataan, HBA berkata peruntukan itu akan memberi manfaat kepada golongan tiada pendapatan tetap seperti pekerja ekonomi gig untuk membeli rumah berharga bawah RM300,000.
“Ekonomi gig menjadi penyelamat kepada ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan dan terpaksa menjadi pemandu e-panggilan, penunggang penghantar makanan, dan pekerjaan bebas lain,” katanya memaklumkan pekerja terbabit layak mendapat akses kepada pembiayaan untuk pembelian aset termasuk hartanah.
HBA menyuarakan kebimbangan terhadap jaminan RM10 bilion sedia ada diluluskan dalam Belanjawan 2024, yang terpakai untuk rumah berharga sekitar RM500,000, melebihi ambang kemampuan ditetapkan persatuan iaitu RM150,000 hingga RM300,000.
“Kami harap kali ini, skim jaminan kredit perumahan hanya akan diperluaskan kepada pembeli rumah kali pertama dan untuk hartanah mampu milik berharga bawah RM300,000.
“Skim ini juga harus tersedia untuk pembelian hartanah sekunder – hartanah sedia ada yang telah siap – dan bukan hanya untuk pembangunan daripada pemaju hartanah,” katanya.
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) juga menyambut baik peruntukan berterusan hingga RM10 bilion untuk 20,000 rakyat melalui SJKP, yang akan memberi manfaat kepada bakal pembeli rumah tanpa penyata pendapatan bulanan.
“Usaha itu menggambarkan hasrat kerajaan memastikan pemilikan rumah untuk semua rakyat, dan membantu belia yang baru memulakan kerjaya dari segi kewangan untuk membeli rumah,” kata Presiden Rehda Ho Hon Sang.
Ho turut menekankan skim ‘step-up financing’ – inisiatif sudah lama diperjuangkan Rehda – yang menyediakan kadar bayaran balik lebih rendah untuk membantu pembeli rumah pertama.
“Kami menyeru institusi kewangan mengambil perhatian terhadap langkah ini dan memperkenalkan skim ‘step-up financing’ masing-masing, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat mengakses program inovatif ini,” katanya dalam kenyataan.