Mayat 5 mangsa bot regata karam ditemukan

Mayat 5 mangsa bot regata karam ditemukan

Dalam kejadian Jumaat lalu mangsa bersama 11 rakan menjalani latihan perlumbaan perahu sebagai persediaan menyertai Regata Sarawak 1 Nov ini.

Mayat diserahkan kepada polis dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Lima mangsa perahu lumba yang hilang selepas karam Jumaat lalu ditemukan lemas hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, mangsa terbabit ditemukan terapung di muara Sungai Sarawak.

Katanya, dua mayat ditemukan anggota JBPM berdekatan Baraj Sungai Sarawak pada 6.16 pagi.

Menurutnya, mangsa ketiga juga ditemukan anggota JBPM di muara Sungai Sarawak pada 6.40 pagi.

“Mangsa keempat ditemukan terapung oleh anggota Sarawak Coastguard pada 7.07 pagi, manakala mangsa terakhir dikesan menerusi dron polis pada 7.09 pagi,” katanya menurut Harian Metro.

Mangsa terbabit adalah Mohammad Ikhmal Sama’ail, 34; Majurie Maharuf, 32; Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26; Mohamad Khairul Bidin, 26 dan Muhammad Khairul Hisham Kasturi, 23.

Mayat diserahkan kepada polis dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.

Mereka adalah kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Jabatan Premier Sarawak.

Dalam kejadian 3.40 petang Jumaat lalu, mangsa bersama 11 lagi rakan sepasukan menjalani latihan perlumbaan perahu sebagai persediaan untuk menyertai Regata Sarawak pada 1 hingga 3 Nov ini.

Perahu panjang dinaiki mereka karam selepas dibadai gelombang yang terhasil oleh kapal nelayan dari arah bertentangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.