
“Sekarang bukan masanya melaksanakan projek mega,” kata Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen Jumaat lalu.
Ini menandakan peralihan asas dalam strategi ekonomi untuk memfokuskan kesejahteraan rakyat sambil meningkatkan produktiviti, pendapatan negara dan menjadikan Malaysia destinasi lebih menarik bagi pelaburan bernilai tinggi.
Strategi memfokuskan projek mega berskala besar untuk mengangkat Malaysia dalam kalangan negara maju boleh dikatakan cetusan idea bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, pemimpin paling lama berkhidmat dalam negara.
Projek ikonik berbilion ringgit yang dimulakan semasa penggal pertamanya sebagai perdana menteri termasuk Menara Berkembar Petronas, Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Trend projek mega diteruskan penggantinya termasuk Najib Razak, di mana pentadbirannya menandatangani projek Transit Aliran Massa (MRT), KL118, TRX dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang setiap satunya menelan kos berpuluh bilion ringgit.
Anwar berkata, pembangunan negara kini menumpukan projek berkepentingan dan kemudahan awam menyokong kawasan perindustrian berdasarkan keutamaan negeri.
Beliau memetik projek berkepentingan awam, termasuk Taman Perindustrian Hijau Bersepadu di Perak – hab hijau berteknologi tinggi pertama di Asia Tenggara – oleh SD Guthrie dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Projek lain seumpamanya termasuk tebatan banjir berkeutamaan tinggi membabitkan sungai di Pahang, Jalan Pintasan Cameron Highlands, pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) kepada enam lorong dalam Fasa 3 dan pembinaan loji rawatan air Machang di Kelantan.
Projek ini kurang berprofil tinggi berbanding projek mega dan kosnya jauh lebih rendah, namun ia memanfaatkan lebih ramai orang berbanding yang lain. Projek mega sentiasa memburukkan lagi hutang negara tinggi dengan manfaat terhad kepada penduduk lebih luas.
Pada asasnya, kerajaan menolak projek mega memihak kepada projek pembangunan sangat diperlukan di seluruh negara yang mempunyai kesan pengganda tinggi boleh mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi dan menjana aktiviti ekonomi.
Lindungi golongan rentan
Hala tuju baharu bawah rangka kerja ekonomi Madani mengutamakan untuk mengangkat martabat rakyat, menambah baik infrastruktur asas, meningkatkan nilai perkhidmatan sedia ada dan mewujudkan masyarakat berdaya tahan serta inklusif.
Langkah menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 mulai 1 Feb 2025 akan menjadi rahmat buat golongan berpendapatan rendah dan membantu mengurangkan kesan krisis kos sara hidup.
Fokus utama belanjawan untuk terus menyediakan subsidi bersasar bagi barangan dan perkhidmatan penting, termasuk bahan api, elektrik dan penjagaan kesihatan, memastikan 85% penduduk dilindungi daripada kenaikan harga.
Dengan mengalihkan subsidi daripada rakyat terkaya dan warga asing kepada golongan paling rentan, kerajaan berhasrat meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah.
Kerajaan turut memperuntukkan RM13 bilion bagi inisiatif bantuan tunai Rahmah tahun depan berbanding RM10 bilion tahun ini. Peningkatan ini akan memanfaatkan 60% populasi dewasa.
Sebanyak 4.1 juta isi rumah akan mendapat bantuan tunai RM100 sebulan berbanding 700,000 isi rumah tahun ini.
Bagi menggalakkan pemilikan rumah, kerajaan akan menyediakan jaminan RM12.8 bilion untuk lebih 57,000 pembeli rumah kali pertama. Hampir RM900 juta diperuntukkan untuk Program Residensi Rakyat.
Belanjawan 2025 juga mempunyai pendanaan besar untuk pembiayaan mampan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengiktiraf peranan kritikal mereka dalam ekonomi negara.
Dana Pembangunan Industri NIMP (NIDF) akan menyokong PKS dalam peralihan kepada pengeluaran bernilai tinggi dan mampan, membolehkan mereka disepadukan dalam rantaian bekalan global.
Galak pelaburan dalam sektor bernilai tinggi
Satu lagi fokus utama Belanjawan 2025 ialah meningkatkan produktiviti dan pendapatan negara, serta menjadikan Malaysia destinasi lebih menarik untuk pelaburan bernilai tinggi.
Kerajaan Anwar menggariskan rancangan untuk meningkatkan produktiviti dengan mengutamakan sektor bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), industri hijau dan semikonduktor.
Bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), industri ini akan menerima insentif cukai dan faedah lain untuk menarik pelaburan domestik serta asing.
Kerangka Insentif Pelaburan Baharu akan diperkenalkan, termasuk memperluaskan insentif cukai eksport bagi reka bentuk litar bersepadu dan menawarkan potongan cukai khas untuk institusi swasta membangunkan kursus dalam kecerdasan buatan (AI), robotik serta teknologi kewangan (fintech).
Belanjawan itu turut menggalakkan automasi dan pembuatan lanjutan melalui insentif cukai untuk syarikat mengguna pakai teknologi AI, robotik dan IoT (Internet of Things).
Pembesaran Taman Teknologi Tinggi Kulim dan pembangunan Taman Perindustrian Batu Kawan 3 adalah projek utama yang akan memudahkan peralihan ini, meletakkan Malaysia sebagai peneraju di Asia Tenggara untuk pembuatan berteknologi tinggi.
Kerajaan patut dipuji kerana berusaha memulihkan disiplin fiskal dan memastikan sumber digunakan dengan cekap serta telus.
Belanjawan 2025 menyasarkan defisit negara dikurangkan daripada 5% tahun lalu kepada 3.8% menjelang 2025 dan seterusnya kepada 3% menjelang pertengahan 2020-an.
Ini akan dicapai melalui pengurangan pinjaman secara berperingkat, dengan hutang baharu dijangka berkurangan kepada RM80 bilion menjelang 2025.