2 maut diserang harimau tiada kaitan pembangunan Kelantan, kata exco

2 maut diserang harimau tiada kaitan pembangunan Kelantan, kata exco

Dua lelaki maut diserang harimau di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli baru-baru ini.

Exco Kelantan Hilmi Abdullah berkata Kelantan antara negeri masih mengekalkan lebih 50% kawasan hutan simpan berbanding keluasan tanah negeri itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kejadian dua lelaki maut diserang harimau di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Batu Melintang, Jeli tiada kaitan dengan pembangunan Kelantan, kata Exconya, Hilmi Abdullah.

Beliau berkata, Kelantan antara negeri masih mengekalkan lebih 50% kawasan hutan simpan berbanding keluasan tanah negeri itu.

“Kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan turut hadir mesyuarat penyelarasan bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk membincangkan isu berkaitan.

“Selain Kelantan, beberapa negeri seperti Perak, Terengganu dan Pahang juga masih mengekalkan peratusan kawasan hutan yang tinggi,” katanya menurut Harian Metro pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Kelantan di Kuala Krai.

Media sebelum ini melaporkan dua lelaki maut akibat diserang harimau.

Adnan Ismail, 54, ditemui mati selepas diserang harimau dekat rumah kongsi Bagan Balak di KM79.2 JRTB Jeli-Gerik, Perak pada Selasa lalu.

Sehari kemudian, seorang warga Myanmar berusia 34 tahun maut dibaham harimau di belakang rumah kongsi sebuah ladang cili di Batu 18 JRTB Jeli-Gerik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.