
Katanya, amat penting projek itu dilakukan lebih awal dalam mengurangkan risiko dan kesan bencana selain dapat menjimatkan kos perbelanjaan.
Menurutnya, situasi itu tidak boleh dipandang ringan berdasarkan perubahan iklim dan pemanasan global yang berlaku serta unjuran matlamat pembangunan mampan (SDG) pada 2050 yang mendedahkan pulau-pulau kecil di Lautan Pasifik, Lautan Hindi akan berada di bawah paras laut.
“Mengikut unjuran SDG pada 2050, pulau-pulau kecil di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik akan berada di bawah paras laut. Ertinya, ini akan mengakibatkan kawasan pantai sama ada barat atau timur di Semenanjung dan kawasan pantai di Sabah dan Sarawak akan mengalami hakisannya.
“Pada 2050, jangkaannya kalau tidak dibuat sekarang, kita akan membelanjakan tidak kurang daripada RM1 trilion,” kata pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPPP), menurut Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Halal On Track @ Pahang di Kuantan.
Zahid diminta mengulas peruntukan RM600 juta disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi tujuan menghadapi banjir semasa pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.
Ia termasuk lebih RM300 juta disediakan untuk persiapan jika berlaku bencana pada bila-bila masa.
Zahid berkata, pihaknya melakukan koordinasi bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dengan pelaksanaan projek tebatan banjir terletak bawah Jabatan Pengairan dan Saliran selain kawasan yang sering dilanda banjir telah disenaraikan.
Selain itu, beliau berkata kerajaan turut menyediakan peruntukan untuk pembinaan pusat pemindahan sementara (PPS) kekal yang dilengkapi semua kemudahan asas bagi menggantikan sekolah dan dewan orang ramai.