Belanjawan 2025: PTPTN komited perkasa pelajar aliran STEM

Belanjawan 2025: PTPTN komited perkasa pelajar aliran STEM

PTPTN komited melahirkan graduan kebolehpasaran tinggi dan penuhi keperluan industri.

ptptn
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan umum peruntukan dana biaya pendidikan PTPTN sebanyak RM50 juta pada Belanjawan 2025 untuk penuntut bidang STEM. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) komited bekerjasama dengan kerajaan memacu negara ke arah berteknologi tinggi menjelang 2030 melalui penglibatan lebih ramai pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim, berkata inisiatif penyediaan dan pembiayaan pendidikan khusus bagi pelajar bidang itu mencerminkan komitmen kerajaan melahirkan graduan kebolehpasaran tinggi, serta sesuai tuntutan industri.

“Dalam usaha kerajaan menggalakkan penabungan untuk tujuan pendidikan tinggi anak-anak, kerajaan juga bersetuju agar melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu bagi simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) hingga 2027.

“PTPTN berharap masyarakat Malaysia terus menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi selaras usaha kerajaan memberikan manfaat penabungan melalui insentif Belanjawan 2025,” katanya dalam kenyataan.

Norliza Abdul Rahim
Norliza Abdul Rahim.

Norliza juga berkata, pihaknya akan memaklumkan perincian mengenai pelaksanaan inisiatif yang diumumkan itu dalam masa terdekat.

“Masyarakat Malaysia amat bertuah kerana mempunyai kerajaan Madani yang amat prihatin terutamanya dalam menyediakan bantuan kewangan untuk anak-anak meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi demi masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan peruntukan keseluruhan Kementerian Pendidikan Tinggi dinaikkan kepada RM18 bilion, berbanding RM16.3 bilion sebelum ini.

Anwar yang juga menteri kewangan turut memperuntukkan dana pembiayaan pendidikan PTPTN sebanyak RM50 juta untuk penuntut pengajian dalam bidang STEM di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Katanya, kerajaan juga bercadang supaya pelepasan cukai individu ke atas simpanan bersih dalam SSPN dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi, serta memperluas kriteria pemberian geran padanan bawah Ikhtiar Geran Padanan Ihsan (Gapai).

Bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT daripada keluarga berpendapatan RM4,000 diperluaskan sehingga RM6,000 dengan jumlah geran maksimum sehingga RM5,000. Inisiatif melalui ikhtiar Gapai itu adalah bagi tempoh dua tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.