
Bawani Lelchumanan dari Business School Universiti Sunway berkata, fokus Belanjawan 2025 untuk meningkatkan daya saing global negara dengan menyokong inisiatif dalam sektor seperti semikonduktor, tenaga hijau, kewangan Islam dan transformasi digital.
Beliau memberitahu FMT, inisiatif ini boleh menjadikan Malaysia pemain berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.
Satu daripada tujuh penanda rasa ditetapkan kerajaan di bawah rangka kerja ekonomi Madani ialah menjadikan Malaysia 12 negara teratas dalam indeks saingan global pada dekad seterusnya.

Belanjawan 2025 memperuntukkan RM100 juta dana padanan untuk menyokong pembangunan penyelesaian kewangan Islam; RM20 juta turut diumumkan bagi UiTM melahirkan lebih ramai jurutera dalam sektor semikonduktor dan RM1 bilion sebagai pembiayaan teknologi hijau.
Khazanah Nasional Bhd akan memperuntukkan RM1 bilion untuk menerajui pelaburan menyokong industri semikonduktor tempatan.
Transformasi perindustrian
Bawani berkata, sumber penting sedang disalurkan ke arah automasi, kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin untuk memacu produktiviti serta pertumbuhan mampan.
“Sektor digital dan inovasi akan mendapat manfaat daripada penambahbaikan ekosistem, menarik pelaburan asing dan domestik dalam industri bernilai tinggi.
“Usaha ini penting untuk transformasi perindustrian Malaysia dan daya tahan ekonomi, di samping mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.”
Belanjawan 2025 turut memperuntukkan RM10 juta kepada Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan untuk meningkatkan penggunaan AI dengan memupuk kerjasama antara ahli akademik dan industri. Pendidikan berkaitan AI juga akan diperluaskan ke semua universiti penyelidikan dengan peruntukan RM50 juta.
Tetapi, Bawani mendapati belanjawan itu kurang campur tangan disasarkan untuk populasi semakin meningkat yang tidak mendapat pendidikan, pekerjaan atau latihan.
Tanpa dasar khusus – seperti kaunseling kerjaya, program latihan vokasional dan skim pekerjaan berinsentif – mereka berisiko terpinggir daripada inisiatif lebih luas untuk memupuk inovasi serta pekerjaan.
Falsafah Madani

Nungsari Ahmad Radhi, pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah, berkata Belanjawan 2025 mencerminkan falsafah Madani Anwar yang berhemat dari segi fiskal, tetapi menekankan pembangunan jaringan keselamatan lebih kukuh.
Menurutnya, ia juga berpandangan ke depan dalam memberi penekanan kepada industri masa depan dan bertekad menjadikan Malaysia bukan ekonomi kos rendah.
“Saya setuju transformasi ekonomi memerlukan penetapan semula harga input dan sementara pengurangan subsidi akan menyaksikan beberapa harga input diselaraskan ke atas, gaji turut diselaraskan,” katanya merujuk kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan mulai 1 Feb.
Beliau menyifatkan tambahan RM3 bilion untuk inisiatif bantuan tunai Rahmah langkah positif kerana pemindahan langsung sedemikian sampai kepada penerima disasarkan. Inisiatif itu diperuntukkan RM13 bilion yang dijangka memanfaatkan 60% populasi dewasa.
Angka fiskal di landasan betul
Nungsari berkata, keseluruhan angka fiskal berada pada trend betul dan mengikut Akta Tanggungjawab Fiskal yang menetapkan sasaran imbangan fiskal pada 3% atau kurang daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
“Kadar defisit (unjuran) untuk 2025 pada 3.8% daripada KDNK lebih rendah daripada 4.3% tahun ini, menunjukkan kadar pertumbuhan hutang kerajaan lebih perlahan. Ini menunjukkan Anwar menjadikan pertumbuhan hutang perlahan sebagai keutamaan dalam pembaharuan fiskalnya.”
Beliau turut memuji langkah meningkatkan hasil seperti cukai 2% ke atas pendapatan dividen lebih RM100,000 yang diperoleh pemegang saham individu. Kerajaan juga bercadang melaksanakan sepenuhnya cukai jualan dan perkhidmatan diperluaskan mulai 1 Mei depan.
Subsidi RON95 bersasar
Nungsari berkata, belanjawan itu mengiktiraf keperluan memperbaharui subsidi dengan pelaksanaan subsidi RON95 bersasar dijangka bermula separuh kedua 2025 yang akan menjejaskan golongan berpendapatan tinggi.
Anwar berkata, 85% rakyat akan terus mendapat manfaat daripada subsidi kerajaan untuk 2025 yang dianggarkan berjumlah RM12 bilion.