2 pelancong menari tarian Maghribi minta sedekah ditahan

2 pelancong menari tarian Maghribi minta sedekah ditahan

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata dua lelaki itu menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Dua warga Maghribi ditahan Jabatan Imigresen selepas tular meminta sedekah sambil menari tarian tradisional di Bukit Bintang awal pagi tadi. (Gambar Jabatan Imigresen KL)
PETALING JAYA:
Dua warga Maghribi yang tular meminta sedekah sambil menari tarian tradisional di Bukit Bintang ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menerusi Op Kutip KL Strike Force pada 1.30 pagi tadi.

Seorang daripada dua lelaki itu, Khalid, 30, mendakwa tujuan mereka berdua bermain alat muzik sambil menari demi mendapatkan wang untuk perbelanjaan sepanjang berada di ibu negara.

Menurutnya, mereka yang membawa peralatan muzik dan pakaian tradisional Maghribi dari tanah air, akan membuat “persembahan” mulai 10 malam hingga 1 pagi setiap hari.

“Kami datang sebagai pelancong dan tinggal di hotel berdekatan untuk tidur, main muzik untuk cari duit ‘makan’ saja. Sehari boleh dapat RM200, cukup untuk makan berdua setiap hari,” katanya menurut Harian Metro.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff, berkata semakan mendapati dua warga asing itu menyalahgunakan pas lawatan sosial (PLS).

“Semakan mendapati kedua-dua warga asing itu masuk ke Malaysia menggunakan PLS pada 11 Okt lalu bagi tujuan melancong. Mereka disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.”

Beliau mengingatkan pelancong asing bahawa penggunaan pas pelawat untuk bekerja salah, termasuk untuk mengemis dan tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap individu melanggar peraturan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.