Yuran SBP, IPTA naik bagi golongan pendapatan teratas

Yuran SBP, IPTA naik bagi golongan pendapatan teratas

Hasil diraih boleh dimanfaatkan untuk menambah baik prasarana institusi pendidikan tersebut, kata PM Anwar Ibrahim.

pelajar mrsm
Angka terkini menunjukkan 30% murid SBP berasal daripada keluarga berpendapatan tinggi, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan merancang mengurangkan subsidi pendidikan secara berperingkat bagi kumpulan pendapatan teratas.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, hasil diraih boleh dimanfaatkan untuk menambah baik prasarana sekolah berasrama penuh (SBP) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersebut.

“Jadi kita bercadang untuk kenakan sedikit kenaikan yuran, tidak kepada 85% (majoriti rakyat), tidak kepada B40, tidak pada M40 … cuma yang (berpendapatan) teratas sahaja akan dikenakan kenaikan yuran,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025.

Beliau berkata, subsidi bagi seorang murid SBP mencecah RM15,000 setahun, dan angka terkini menunjukkan 30% murid SBP berasal daripada keluarga berpendapatan tinggi.

“Matlamat asal penubuhan sekolah berasrama penuh (SBP) adalah untuk membantu murid cemerlang dan dari keluarga susah serta pedalaman mendapatkan pendidikan terbaik,” katanya.

“Seandainya subsidi pendidikan dikurangkan secara berperingkat bagi kumpulan pendapatan 15% teratas, kutipan yang diraih boleh dimanfaatkan untuk menambah baik prasarana SBP dan IPTA tersebut.

Tambahnya, penyasaran subsidi ini akan turut melibatkan kesihatan awam, yang mana penjimatan akan dapat dimanfaat untuk membiayai peranti perubatan bagi pesakit miskin dan menaik taraf peralatan hospital dan klinik awam.

“Golongan berpendapatan tinggi wajar menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan lebih baik di hospital kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.