Wanita antara 3 ditahan kes acu pistol di medan selera

Wanita antara 3 ditahan kes acu pistol di medan selera

Polis berkata, objek menyerupai sepucuk pistol berwarna hitam bersama satu kelopak dan dua butir peluru manik turut dirampas.

aa-anbalagan-
Ketua Polis Serdang, AA Anbalagan, berkata suspek mengacukan objek menyerupai pistol ke arah perut mangsa selepas menegurnya supaya tidak merokok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan semalam kerana disyaki mengacukan objek berbentuk pistol di sebuah medan selera sekitar Puchong Ahad lalu.

Ketua Polis Serdang, AA Anbalagan, berkata pihaknya menerima laporan semalam dan kejadian itu turut tular di media sosial susulan satu video 26 saat.

“Kejadian dipercayai berlaku 10 malam 13 Okt semasa mangsa berada di sebuah medan selera sekitar Puchong. Dia menegur suspek supaya tidak merokok di kawasan itu.

“Kemudian berlaku pertelingkahan antara mangsa dan lelaki terbabit, lalu suspek tiba-tiba mengacukan suatu objek menyerupai pistol ke arah perut pengadu,” katanya menurut Harian Metro.

Menurutnya, suspek kemudian beredar dari lokasi kejadian dan mangsa membuat laporan semalam demi keselamatan diri dan keluarganya.

Bertindak atas maklumat, beliau berkata, dua lelaki tempatan dan seorang wanita berstatus pemastautin tetap ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

Katanya, seorang daripada suspek itu mempunyai satu rekod dadah dan dua lagi suspek tiada rekod lampau.

“Polis turut merampas objek menyerupai sepucuk pistol berwarna hitam bersama satu kelopak dan dua butir peluru manik (bebola putih).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.