SIBS 2024 kukuh kedudukan Selangor sebagai pintu masuk Asean

SIBS 2024 kukuh kedudukan Selangor sebagai pintu masuk Asean

Expo itu juga menjadi medan kepada syarikat tempatan dan antarabangsa meneroka pasaran halal di rantau ini.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (tengah) ketika melawat gerai pameran di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 bakal memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pintu masuk utama ke Asean sekali gus merangsang kerjasama serantau, pelaburan, dan pertumbuhan ekonomi.

Persidangan empat hari yang bermula Rabu lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu meliputi Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) atau SIE F&B, Konvensyen Sains Hayat Selangor (SLC) serta Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC).

Invest Selangor Berhad dalam satu kenyataan berkata, IE F&B antaranya akan mengetengahkan pempamer utama iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang dijangka membawa pengisian dalam forum sehari berkaitan topik keterjaminan makanan.

Katanya, persidangan Antarabangsa Halal Selangor turut menjadi acara dalam ekspo itu sebagai medan kepada syarikat tempatan dan antarabangsa meneroka pasaran halal di rantau ini.

“SDEC pula dijangka memperkenal sesi menumpukan inisiatif terbaharu negeri iaitu taman reka bentuk litar bersepadu dan Pemacu Semikonduktor Malaysia.

“Acara penting lain adalah tiga forum utama ketika sub konvensyen SLC termasuk forum Kelestarian Masa Depan Selangor-Korea yang membincangkan teknologi biotani dan bidang lain yang berkaitan,” katanya.

Menurut Invest Selangor Berhad, SIBS adalah sinambungan kejayaan siri pertama pada Julai lalu yang menarik 8,550 pelawat dari 22 negara dan menghasilkan nilai transaksi berpotensi sebanyak RM12.2 bilion.

Katanya, siri kedua SIBS 2024 menghimpunkan lebih daripada 650 gerai pameran dari pelbagai sektor dengan jangkaan kehadiran seramai 12,000 pelawat dari 18 negara.

“Acara ini berperanan penting dalam mempromosikan perdagangan rentas sempadan, memudahkan rangkaian perniagaan, mempamerkan inovasi, serta mengembangkan perniagaan di seluruh Asean.

“Ia juga menjadi acara penting bagi pemimpin perniagaan, pakar industri, dan pelabur yang ingin memperluaskan jangkauan mereka di Asean,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.