
Menterinya, Nancy Shukri berkata, inisiatif buat julung kali diumumkan itu disuarakannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu lepas selaras dengan keperluan semasa golongan itu.
“Kita berterima kasih (kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim) kerana baru minggu lepas saya suarakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
“Alhamdulillah, kita dapat RM23 juta melibatkan bantuan yuran pembelajaran untuk 30,000 ribu anak autisme bagi meringankan beban ibu bapa yang layak, berjumlah RM15 juta.”
Menurut Nancy, RM5 juta juga diperuntukkan untuk membangunkan Pusat Perkhidmatan Autisme dan RM3 juta untuk peningkatan kadar wang saku kanak-kanak di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 11 Pusat Permata baharu, termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, akan dibina bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autisme.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi pembangunan Pusat Perkhidmatan Autisme.
Dalam pada itu, had pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan dan pemulihan anak autisme akan ditingkatkan kepada RM6,000 pada 2025 berbanding RM4,000 tahun ini.