
Anak Asaari, Ummu Attiyah mendakwa dipaksa menjadi isteri keempat salah seorang ahli lembaga pengarah GISBH beberapa tahun selepas bapanya meninggal dunia pada 2010.
“Saya dipaksa berkahwin dengan lelaki itu pada 2015 oleh adik-adik saya sendiri. Saya dikurung dan didera pengikutnya kerana ingkar arahan (untuk berkahwin).
“Betapa tiada maruahnya sikap (mereka) itu. Mereka ugut dan paksa saya serah diri,” katanya dalam satu sidang media.
Ummu Attiyah berkata dia akhirnya akur untuk berkahwin selepas tidak tahan didera dan diugut lelaki itu serta adik-adiknya sendiri.
Seorang lagi bekas pengikut GISBH yang mahu dikenali sebagai Joey, 34, juga mendakwa dipaksa berkahwin dan menjadi mangsa keganasan rumah tangga selama 14 tahun.
“Sepanjang tempoh perkahwinan saya ada 9 anak. Saya menjadi mangsa keganasan rumah tangga tetapi pihak atasan (GISBH) tidak pernah ambil peduli walaupun mengetahui perkara itu.
“Anak saya juga jadi mangsa. Anak yang paling kecil berusia lima bulan pernah dihentak ke dinding (oleh suami),” katanya.
Katanya, dia pernah membuat laporan polis terhadap suaminya tetapi dipaksa menarik semula laporan itu kerana bapa mentuanya antara orang berpengaruh dalam GISBH.
Adam Rahmad, 32, pula mendakwa dia tidak dibenarkan bertemu anak dan isterinya, serta dipaksa bercerai selepas mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan itu.
“Apabila saya nekad tinggalkan GISBH, isteri dan anak saya disorok. Mereka juga memaksa isteri untuk failkan penceraian dengan alasan saya culas bayar nafkah,” katanya sambil menambah dia bekerja dengan syarikat itu selama 10 tahun tanpa gaji.
Katanya, anaknya antara kanak-kanak yang diselamatkan polis dalam Ops Global pada bulan lalu, tetapi anaknya masih trauma akibat didera.
Sementara itu, peguam Ainur Rabiatuadawiyah Hassim yang mewakili mangsa menyeru bekas pengikut GISBH yang menjadi mangsa penganiayaan tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa.
“Walaupun kerajaan sudah menyelamatkan beratus-ratus kanak-kanak dan pelbagai siasatan dilakukan, kami percaya jumlah mangsa yang belum tampil atau dikenalpasti adalah jauh lebih tinggi,” katanya.