50 pusat pendidikan awal akan dibangun tangani murid lemah 3M

50 pusat pendidikan awal akan dibangun tangani murid lemah 3M

Prasekolah, taska dan tabika Kemas akan dibangunkan antaranya di Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak, kata PM.

Pelepasan cukai pendapatan individu ke atas bayaran yuran taska dan tadika dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2027.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan membangunkan 50 pusat pendidikan awal kanak-kanak bagi menangani masalah literasi dan numerasi dalam kalangan murid Tahun Satu.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 34 prasekolah baharu akan dibina, antaranya di SK Pakatan Jaya, Kinta Utara, Perak dan SK Felda Palong 1, Jempol, Negeri Sembilan.

Selain itu 16 taska dan tabika Kemas akan dibina, antaranya di Gopeng, Segamat, Rompin dan Kota Samarahan.

Anwar berkata, pendidikan awal mustahak kerana pada peringkat ini, tumbesaran otak berkembang paling pesat justeru perlu dilentur dan dididik.

Beliau turut mengumumkan pelepasan cukai pendapatan individu ke atas bayaran yuran taska dan tadika dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2027.

Bulan lepas, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata, seramai 122,062 murid Tahun Satu sesi 2024/2025 dikesan gagal menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) selepas tiga bulan sesi pembelajaran dan pengajaran di sekolah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM).

Seramai 62,928 murid masih belum menguasai literasi dan numerasi pada tahap penguasaan minimum, iaitu Tahap Penguasaan 1, manakala 45,465 murid belum menguasai literasi dan baki 13,669 murid belum menguasai numerasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.