21 pengikut Syiah ditahan di Kedah

21 pengikut Syiah ditahan di Kedah

Pihak berkuasa menahan enam lelaki, sembilan wanita dan enam kanak-kanak berusia tiga hingga 77 tahun.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah melakukan serbuan pada 9.50 malam Selasa lalu selepas menerima maklumat pengikut Syiah akan berkumpul bagi memperingati Maulid Imam Syiah ke-11, Imam Hasan Al-Askari. (Gambar JHEAIK)
PETALING JAYA:
Seramai 21 individu dipercayai pengikut Syiah ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) di sebuah rumah di Kampung Alor Berala, Mukim Tobiar, Pendang, Selasa lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Kedah, Syeikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin, berkata serbuan pada 9.50 malam hasil maklumat diterima JHEAIK bahawa pengikut Syiah akan berkumpul bagi memperingati Maulid Imam Syiah ke-11, Imam Hasan Al-Askari di rumah Abdullah Hassan yang didakwa ketua Syiah di negeri itu.

Dalam 0perasi Khas Syiah oleh JHEAIK bersama polis itu, katanya, kitab dan barangan dikaitkan dengan ajaran terbabit turut dirampas.

“Semua 21 individu ditahan di rumah berkenaan terdiri daripada enam lelaki, sembilan wanita dan enam kanak-kanak berusia tiga hingga 77 tahun. Mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah Pendang untuk siasatan lanjut,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, penahanan individu itu seiring ajaran dan fahaman Syiah yang diwartakan bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan masyarakat Islam pada 15 Jun 2014.

Menurutnya, semua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 9 dan 12 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah) 2014 kerana menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama serta penerbitan agama bertentangan hukum syarak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.