‘Wanita besi’ azam pastikan KL bersih persundalan

‘Wanita besi’ azam pastikan KL bersih persundalan

Dr Zaliha Mustafa nafi aktiviti persundalan di ibu negara meningkat.

sarang pelacuran
Data pada 2023 menunjukkan hanya 159 serbuan dan 540 tangkapan dilakukan pihak berkuasa berkait kes persundalan di Kuala Lumpur. (Gambar Facebook Imigresen)
KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa nafi dakwaan tiada pengurangan aktiviti persundalan di ibu negara.

Katanya, data pada 2023 menunjukkan hanya 159 serbuan dan 540 tangkapan dilakukan pihak berkuasa berkait kes itu berbanding suku ketiga tahun ini.

Menurutnya, sejak penubuhan KL Strike Force, polis bersama agensi penguatkuasaan lain menyerbu 209 premis yang menawarkan perkhidmatan persundalan.

“Statistik serbuan bermula dari tarikh 27 Mei 2024 hingga 30 Sept 2024 menunjukkan seramai 781 orang ditangkap.

Dr Zaliha Mustafa ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)

“(Daripada jumlah 781) terdiri 149 warga tempatan diikuti 632 warga asing berusia lingkungan 18 hingga 61 tahun,” katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang minta menteri menyatakan mengapa aktiviti persundalan di Kuala Lumpur masih tidak berkurangan walaupun KL Strike Force diaktifkan.

Sementara itu, Zaliha berkata pihaknya berdepan cabaran menangani aktiviti persundalan kerana sindiket terbabit mempunyai ‘hotspot’ terbaru.

Katanya, sindiket kini menjadikan kedai makan dan medan selera di sekitar Jalan Pudu dan Jalan Loke Yew sebagai lokasi mengiklankan aktiviti tidak bermoral itu.

Bagaimanapun, beliau akan memastikan Kuala Lumpur bersih dari segala aktiviti menyalahi undang-undang termasuk persundalan.

“Saya pun sebenarnya menerima jolokan orang kata ‘wanita besi’ yang menjaga Kuala Lumpur. Saya juga nak ingatkan jangan macam-macam di Kuala Lumpur ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.