Polis rampas syabu RM10 juta

Polis rampas syabu RM10 juta

Polis berkata dadah itu ditemui dalam sebuah kereta jenis Honda HRV yang dipandu seorang lelaki di Kajang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Khaw Kok Chin (kanan) menunjukkan guni beras mengandungi syabu yang dirampas dalam sebuah kereta di Kajang Perdana, pada Sabtu lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah jenis syabu seberat 315kg dianggarkan bernilai kira-kira RM10 juta dalam sebuah kereta yang dipandu suspek di Kajang Perdana.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Khaw Kok Chin berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di tempat letak kereta sebuah restoran makanan segera pada Sabtu lalu, lapor Berita Harian.

Katanya, dalam serbuan jam 8.38 malam itu, polis menemui 15 guni beras mengandungi 20 bungkusan plastik teh herba yang diisi dadah di tempat duduk penumpang belakang serta but kenderaan jenis Honda HRV yang dipandu suspek.

“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang juga pemandu kenderaan terbabit dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ (penghantar dadah).

“Hasil soal siasat mendapati suspek mendapat upah sehingga RM10,000 untuk setiap kali penghantaran,” katanya.

Khaw berkata suspek dipercayai diupah oleh sindiket dadah untuk membawa dadah itu untuk diedarkan kepada pembeli di sekitar Lembah Klang.

Katanya, sindiket yang aktif sejak tahun ini dan dipercayai mendapat bekalan dari negara jiran sebelum diseludup melalui Pantai Timur.

Menurutnya, sindiket itu menjadikan kenderaan sebagai tempat simpanan dadah sebelum diedarkan kepada pembeli menggunakan kenderaan yang sama. Dadah yang dirampas itu juga dianggarkan boleh digunakan 1.58 juta penagih.

“Suspek yang ditahan mempunyai enam rekod jenayah dengan lima daripadanya berkaitan dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini direman enam hari hingga 18 Okt ini untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.