Majlis fatwa Sabah putus GISBH bercanggah, seleweng ajaran Islam

Majlis fatwa Sabah putus GISBH bercanggah, seleweng ajaran Islam

Keputusan itu dibuat pada Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah 2024 pada 1 dan 2 Okt lepas.

GISBH RAWANG-SITA
Pejabat Mufti Negeri Sabah menggesa ahli jemaah GISBH dan orang Islam yang mengamalkan fahaman dan ajaran GISBH wajib bertaubat.
PETALING JAYA:
Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan ajaran, amalan, pegangan dan fahaman ahli jemaah GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan syarikat gabungannya bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Pejabat Mufti Negeri Sabah memaklumkan, keputusan itu dibuat pada Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah 2024 pada 1 dan 2 Okt lepas.

“Penyelewengan ini meliputi aspek akidah, syariah, akhlak, kekeluargaan, kemanusiaan, muamalah ekonomi dan membawa kepada perpecahan umat serta boleh mengancam keselamatan negara,” menurut kenyataan Pejabat Mufti Negeri Sabah, lapor Bernama.

Menurutnya, GISBH menyeleweng daripada sudut akidah antaranya dengan meyakini Ashaari Mohammad atau ‘Abuya’ ghaib dan akan muncul sebagai pembantu Imam Mahdi di akhir zaman.

Selain itu, meyakini amalan bertabarruk atau mengambil berkat dengan apa-apa yang digunakan oleh pemimpin GISBH, “antaranya makan dan minum air basuhan tangan, rendaman gigi, janggut dan lain-lain”.

Daripada sudut syariah pula termasuk mendakwa solat Jumaat tidak wajib kerana belum tertegak kerajaan Imam Mahdi, dan menunaikan solat jamak qasar secara berterusan dengan alasan dalam perjuangan fisabilillah.

Daripada sudut muamalah ekonomi pula antaranya penyalahgunaan rumah amal untuk mendapatkan sumbangan daripada kerajaan serta orang ramai, dan eksploitasi ahli pekerja seperti kerja tanpa gaji serta pembayaran wang tugasan harian.

“Sehubungan dengan itu, mana-mana ahli jemaah GISBH dan orang Islam yang mengamalkan fahaman dan ajaran GISBH wajib bertaubat serta meninggalkan fahaman dan ajaran tersebut dengan segera,” menurutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.