Ibu bapa perlu bukti pertalian darah untuk tuntut anak diselamat Op Global, kata Nancy

Ibu bapa perlu bukti pertalian darah untuk tuntut anak diselamat Op Global, kata Nancy

Nancy Shukri berkata, pihaknya mempunyai sebab meragui kesahihan pertalian darah dalam beberapa tuntutan yang dibuat.

Nancy Shukri berkata, setakat ini, pihaknya menerima kira-kira 200 permohonan daripada ibu bapa untuk mendapatkan semula anak-anak mereka yang kini ditempatkan di tempat-tempat selamat. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Ibu bapa kepada kanak-kanak bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) susulan Op Global perlu mengemukakan bukti pertalian darah bagi menuntut anak-anak mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata, hal ini kerana pihaknya mempunyai sebab meragui kesahihan pertalian darah dalam beberapa tuntutan yang dibuat.

“Kalau betul-betul itu anak dia, biasanya ibu bapa itu mahu anak bersama dengan mereka, (tetapi) anak itu tidak bersama dengan ibu bapanya, dan ini yang menjadi kesangsian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita pada Program Toleransi Sifar Keganasan @ Advokasi Anti Gangguan Seksual KPWKM 2024 di Universiti Tenaga Nasional, Serdang hari ini.

Nancy berkata, sebarang permohonan memulangkan kanak-kanak terlibat kepada pangkuan keluarga juga tertakluk kepada pemeriksaan kesihatan bagi memastikan tiada unsur jenayah seksual atau kecederaan fizikal serta kelulusan mahkamah.

Tambahnya, setakat ini pihaknya menerima kira-kira 200 permohonan daripada ibu bapa untuk mendapatkan semula anak-anak mereka yang kini ditempatkan di beberapa tempat selamat.

“Saya mengharapkan mereka (kanak-kanak) dapat dikeluarkan seberapa segera … Lagipun perasaan ibu dengan anak … ada ibu bapa yang sedih kerana anaknya dipisahkan. InsyaAllah kita akan keluarkan, kalau tiada apa-apa bantahan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 560 kanak-kanak, iaitu 283 lelaki dan 277 perempuan, ditempatkan di tempat-tempat selamat.

Menurut KPWKM, JKM mendapat perintah jagaan sementara oleh mahkamah selama dua bulan mengikut Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

KPWKM memaklumkan, JKM terlibat dalam Op Global secara langsung bermula 11 Sept dengan seramai 884 pegawai, terdiri daripada pelindung, pegawai diberi kuasa dan pegawai psikologi terlibat dalam operasi yang meliputi serbuan ke atas 83 premis di seluruh negara.

JKM berperanan menjalankan operasi menyelamatkan kanak-kanak bersama polis, menguruskan penempatan sementara bagi kanak-kanak, mendaftar maklumat, mendapatkan perintah jagaan sementara dan menguruskan kemasukan kanak-kanak ke tempat-tempat selamat.

“Matlamat akhir bagi penempatan dan penjagaan kanak-kanak terlibat adalah ‘kembali ke pangkuan keluarga’,” menurut KPWKM.

“Namun sebelum perkara tersebut dapat dilaksanakan, pelbagai aspek perlu dinilai dan dipertimbangkan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak terlibat.”

JKM telah mengaktifkan talian khas bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan kanak-kanak yang terkait dalam Op Global di 03-8323 2190 dan 03-8323 2191.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.