Perjanjian MAS dengan kelab EPL tak jejas penyelenggaraan, kata Loke

Perjanjian MAS dengan kelab EPL tak jejas penyelenggaraan, kata Loke

Menteri pengangkutan memberi jaminan, pengurusan teknikal dan keselamatan menjadi keutamaan tertinggi syarikat penerbangan negara itu.

malaysia airline
Pada Mac, MAS dilaporkan memeterai kerjasama strategik dengan MUFC sebagai syarikat penerbangan komersial rasminya.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memberikan jaminan bahawa perjanjian penajaan Malaysia Airlines (MAS) dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak akan menjejaskan penyelenggaraan atau operasi teknikal syarikat penerbangan negara itu.

“Saya yakin … penajaan kelab bola sepak itu adalah satu strategi pemasaran,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, menjawab pertanyaan Richard Rapu (GPS-Betong) berhubung perbelanjaan pemasaran syarikat penerbangan itu di tengah-tengah cabaran teknikal yang sedang dihadapinya.

“Dan saya yakin pengurusan teknikal diberikan keutamaan tertinggi kerana tahap keselamatan penerbangan ialah keutamaan tertinggi bagi syarikat-syarikat penerbangan, khususnya MAS.”

Pada Mac, MAS dilaporkan memeterai kerjasama strategik dengan Manchester United Football Club (MUFC) sebagai syarikat penerbangan komersial rasminya.

Bagaimanapun, sejak Ogos, syarikat penerbangan itu menghadapi banyak lencongan penerbangan dan pendaratan kecemasan, menyebabkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengurangkan tempoh perakuan sijil pengendali udaranya daripada tiga tahun kepada satu tahun.

Pemilik MAS, Malaysia Aviation Group, menyifatkan cabaran operasi itu akibat kekurangan alat ganti yang berlaku pada peringkat global, dan kelewatan pembaikan dan baik pulih enjin.

Loke menegaskan bahawa MAS, seperti syarikat penerbangan lain di seluruh dunia, sedang bergelut dengan isu teknikal yang disebabkan oleh ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan.

“Namun begitu, saya yakin bahawa pihak MAS telah pun melakukan segala yang mampu untuk memastikan isu-isu teknikal ini dapat dihadapi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.