
Ketua Polis Besut Abdul Rozak Muhammad berkata dalam kejadian pada 10.27 malam itu, Muhammad Fahim Rasyidi Shariful Hadi, 18, yang merupakan pelajar sebuah madrasah tahfiz di Jabi, membasuh tangan di singki kantin asrama selepas selesai minum malam.
“Ketika berada dekat singki itu mangsa memegang mentol lampu elektrik yang sedang menyala yang berada berhampiran dan tiba-tiba terkena renjatan elektrik lalu rebah di tempat kejadian.
“Kejadian dipercayai berlaku kerana tangan mangsa dalam keadaan basah ketika memegang mentol lampu dan cuaca pula hujan lebat,” katanya dalam kenyataan.
Rozak berkata mangsa kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut oleh guru di madrasah tersebut.
Bagaimanapun, mangsa yang berasal dari Klang, Selangor disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada 11.35 malam tadi.
Katanya, kejadian itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.